POT akan muncul bersama beberapa rakan artis pada acara KL Jamm.
POT akan muncul bersama beberapa rakan artis pada acara KL Jamm.
Amirul Haswendy Ashari

INNUENDO antara kumpulan vokal berharmoni paling popular pada lewat 1990-an dengan lagu seperti Belaian Jiwa dan Selamanya yang masih diingati hingga hari ini.

Namun, pada awal 2000, kumpulan yang dianggotai Pot Amir, Remy, Taj dan Sam berpecah dan membawa haluan masing-masing.

Bagaimanapun, mereka dilihat memberi bayangan akan membuat kemunculan semula.

Pot ketika ditemui baru-baru ini meluahkan hasrat itu selepas melihat hari ini tiada kumpulan yang mampu menyanyi secara berharmoni seperti mereka suatu ketika dulu.

“Segalanya bermula apabila kami bertemu sekitar Februari lalu. Ketika itu saya teringatkan lagu Yesterday (nyanyian Boyz II Men dan nyanyian asal The Beatles) yang pernah kami nyanyikan dulu.

“Dalam pertemuan yang tidak dirancang itu, saya lupa penamat lagu itu kerana versi kami berbeza dengan penyanyi asal,” katanya.

Pot atau nama sebenarnya Saiful Amir Abd Wahab berkata, penamat versi mereka akhirnya ditemui selepas semua menyanyikan lagu itu.

Katanya, detik itu sekali gus mengembalikan pengalaman ‘jamming’ bersama-sama suatu ketika dulu.

Menurutnya, pertemuan itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studio, Datuk Ahmad Izham Omar yang juga pengasas syarikat rakaman Positive Tone. Ia sekali gus ‘reunion’ yang sangat bermakna selepas 10 tahun.

Selepas itu, Pot mula memujuk bekas anggota lain, tetapi hanya Sam dan Taj saja yang menunjukkan minat, manakala Remy tidak berminat kerana sibuk dengan perniagaannya.

“Kami puas memujuk Remy, tetapi dia tetap dengan pendirian untuk terus bersara kerana sibuk dengan perniagaan.

“Namun, jika usaha ini berhasil kami akan melakukan penjenamaan semula dengan menggunakan nama baru, bukan lagi Innuendo,” katanya.

Sebagai pengenalan, Pot akan muncul terlebih dulu bersama beberapa rakan artis pada acara KL Jamm di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 26 April ini. Dia juga akan berkongsi pentas dengan kumpulan Ruffedge serta artis lain seperti Bunkface, Joe Flizzow, SonaOne, Alif, Ila Damiaa, Yung Raja, Faris Jabba dan Abubakarxli.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 4:30 AM