Oleh Riadz Radzi


Merakamkan 'cover song' atau lagu saduran adalah lumrah bagi sebahagian besar penyanyi di seluruh dunia.

Kebiasaannya ia dilakukan sebagai penghormatan kepada penyanyi asal lagu berkenaan. Ia juga mungkin disebabkan lagu dan penyanyi asal itu memang diminati penyanyi yang mahu merakamkannya semula itu.

Apabila dirakam kembali, selalunya ia akan diberi nafas baru dari segi gubahan muzik, tempo dan vokal. Namun, ada juga penyanyi yang hanya meniru bulat-bulat me­ngikut lagu asalnya.

Apa yang menarik, ada lagu yang dirakam semula itu lebih popular daripada lagu asalnya hingga membuatkan segelintir peminat menganggap ia adalah lagu baru.

Berikut disenaraikan beberapa lagu saduran popular yang pernah dirakam penyanyi tempatan yang lagu asalnya daripada penyanyi tempatan, Singapura dan Indonesia.

Kamelia-Sweet Charity

Penyanyi Asal-Ebiet G Ade

Ketika di kemuncak populariti mereka, Sweet Charity turut dikenali kerana banyak merakam lagu saduran terutama daripada penyanyi Indonesia dan kumpulan rock Barat.

Kamelia antara lagu popular Sweet Charity hingga hari ini dan lagu wajib bagi penyanyinya, Datuk Ramli Sarip dalam setiap persembahan solonya.

Ada segelintir peminat generasi baru tidak tahu ia sebenarnya diambil daripada lagi penyanyi legenda Indonesia, Ebiet G Ade berjudul Camellia II (Sweet Charity menukar ejaannya kepada Kamelia) yang dirakam pada 1979.

Namun, Sweet Charity yang ketika itu dianggotai Ramli sebagai penyanyi, Rosli Mohalim (gitar), Syed Hassan (bass), Rahman Sarbani (dram) dan Ahmad Jaafar (keyboard) memberi pengaruh rock terhadap lagu ini dan ia kekal popular sekarang.

Ia dimuatkan dalam album kedua mereka, Pelarian pada 1980.

Lancang Kuning dan Senandung Semalam-Datuk Jamal Abdillah

(Lancang Kuning), Alleycats (Senandung Semalam)

Dua lagu ini yang dipersembahkan Jamal Abdillah ketika pertandingan akhir Bintang RTM pada 1979 menobatkannya sebagai juara pertandingan itu.

Kehebatan vokal penyanyi dari Teluk Intan, Perak ini memukau juri pertandingan. Lagu Senandung Semalam yang kurang popular bersama Alleycats sebelum itu tiba-tiba meletup gara-gara Jamal!

Lancang Kuning menjadi pilihan Jamal kerana dia sering membawakan lagu penyanyi Indonesia, Eddie Silitonga sebelum itu yang juga idolanya sejak remaja.

Kedua-dua lagu itu kemudian dimuatkan dalam album sulungnya Perpisahan Tanpa Relamu pada 1980.

Tiada Lagi-Amy Search

Penyanyi Asal-Mayang Sari

Walaupun kedua-dua versi ini tidak banyak beza(kecuali pe­nyanyinya), tetapi lagu ini terus menjadi antara lagu popular Amy dan dia kerap membawanya dalam setiap persembahan solo.

Lagu ini dimuatkan dalam album solo Amy iaitu Suatu Masa pada 2000. Ia juga album lagu saduran yang turut memuatkan lagu seperti Suatu Masa (Datuk M Nasir), Sejuta Wajah (Sweet Charity), Salam Terakhir (Sudirman), Seribu Tahun Takkan Mungkin (BPR), Srikandi Cintaku (Bloodshed), Ku Di Halaman Rindu (Lefthanded), Ku Petik Bintang (Kenny, Remy & Martin), Istana Menanti (Rahim Maarof) dan Milik Siapakah Gadis Ini (Sudirman).

Belaian Jiwa-Innuendo

Penyanyi Asal-Carefree

Pada 1996, Innuendo yang terkenal dengan muzik R &B dan soul membuatkan lagu Belaian Jiwa yang dirakam kumpulan Carefree pada 1970-an menjadi popular.

Malah, Innuendo yang ketika itu dianggotai Reymee, Sam, Taj dan Pot menjadikan Belaian Jiwa versi mereka lebih popular (dan lebih sedap) daripada versi Carefree.

Mereka yang memiliki kelebihan vokal menukar Belaian Jiwa menjadi sebuah lagu yang lebih indah, segar dalam diminati sehingga hari ini.

Belaian Jiwa juga membawa impak besar kepada Innuendo hingga menjadi antara kumpulan R & B paling popular tanah air pada era 1990-an.

Khayalan-Ruffedge & VE

Penyanyi Asal-Black Dog Bone

Apa yang menarik mengenai lagu ini ialah Ruffedge dan VE merakamkan kembali lagu Black Dog Bone, tetapi Black Dog Bone juga sebenarnya mengambil lagu Fantasy nyanyian Earth, Wind & Fire dan menukar liriknya kepada Khayalan.

Lagu dengan rentak disko era 1970-an ini diberi nafas baru dengan memasukkan elemen hip hop dan R &B.

Tiada Lagi Kidungmu-Lefthanded

Penyanyi Asal-Jack Marpaung

Sejak Lefthanded popular dengan lagu ini menerusi album sulung mereka pada 1987, hampir semua peminat mereka menganggap lagu ciptaan komposer Indonesia Arie Wibowo itu memang untuk Lefthanded.

Tidak ramai yang tahu penyanyi asalnya ialah dari Indonesia iaitu Jack Marpaung yang merakamkan lagu itu pada 1970-an.

Namun, sebagaimana Jack yang memiliki kualiti vokal hebat ketika membawakan lagu ini, begitu juga Nash yang berjaya menyampaikannya dengan cukup baik sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 January 2015 @ 5:00 AM