KUMPULAN Ukays tidak berhajat untuk mempunyai penyanyi tetap. FOTO Aswadi Alias
KUMPULAN Ukays tidak berhajat untuk mempunyai penyanyi tetap. FOTO Aswadi Alias
Ridzuan Abdul Rahman


KETUA kumpulan dan pemain keyboard kumpulan Ukays, Amy menyangkal dakwaan dirinya bertindak kejam apabila menyingkir bekas penyanyi mereka, Ady daripada kumpulan itu.

Isu itu timbul berikutan lagu Ukays nyanyian Ady berjudul I Love You, I Miss You meletup dalam kalangan peminat, namun tempatnya kini digantikan oleh penyanyi baru iaitu Muhammad Zakir Roslan atau Acik.

“Saya bukan kejam seperti mana yang didakwa oleh peminat. Cerita sebenarnya begini, Ady adalah penyanyi undangan saja untuk projek album Ukays.

“Semua urusan surat-menyurat dan pembayaran dah dibuat kepada syarikat Dua Karya kerana Ady adalah artis rakaman syarikat itu.

“Dia cuma dipinjamkan kepada Ukays Records atas kebenaran Dua Karya sebagai penyanyi undangan untuk projek lagu Ukays iaitu I Love You, I Miss You, Terpaksa Ku Lepaskan, Hanya Kasih dan Ku Relakan Kau Pergi,” katanya kepada Harian Metro.

Amy atau nama sebenarnya Azmi Hassan berkata, dakwaan itu timbul kerana peminat tidak tahu situasi sebenar sehingga melemparkan pelbagai tuduhan negatif terhadapnya.

“Ady menandatangani kontrak dengan Dua Karya selama tiga tahun dan difahamkan kontraknya akan tamat pada Mac depan.

“Bagaimanapun saya tidak memikirkan untuk mengambilnya kembali kerana Ukays tidak berhajat mempunyai penyanyi tetap,” katanya.

Menurutnya, sejak mengambil Ady empat tahun lalu, dia sudah memaklumkan bahawa Ady hanya penyanyi undangan.

“Cuma kesilapan berlaku apabila emaknya meletakkan nama Ady Ukays di Facebook peribadi Ady. Saya dah pesan dari awal tapi emaknya berdegil menyebabkan semua orang beranggapan dia penyanyi Ukays.

“Saya lebih suka Ady gunakan nama sendiri. Waktu keluarkan lagu dengan Dua Karya, dia menggunakan nama Ady Pujaanku,” katanya.

Menurutnya, dia mengikut kontrak yang dipersetujui dengan Dua Karya apabila membuat pembayaran kepada syarikat itu dan bukannya terus kepada Ady.

“Saya mengakui sudah tidak berhubung dengan Ady. Sebabnya Ady sendiri yang buat kenyataan di Facebook mengatakan dia bukan lagi penyanyi Ukays.

“Dia juga buat kenyataan bukan anak didik Ukays tapi anak didik Ayie Leon. Katanya dia tidak mahu dibayangi oleh lagu Ukays dan kumpulan Ukays serta ingin dikenali sebagai penyanyi solo,” katanya.

Selain Amy, Ukays turut dianggotai Muhamad Afiq Faiz Amir (gitar), Ahmad Fauzi Mat Saad (bass) dan Mohamad Ali Ripin (dram).

Lagu I Love You, I Miss You kini mencatat lebih 10.6 juta tontonan di YouTube dalam tempoh empat bulan serta menjuarai carta radio Perlis FM.

Lagu ciptaan Amy itu juga berada dalam carta radio Era FM dan Hits Gegar serta kerap dimainkan di stesen radio lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 1:27 PM