ERWIN Dawson (kiri), Julia Farhana Marin. FOTO NSTP
ERWIN Dawson (kiri), Julia Farhana Marin. FOTO NSTP
Ramlah Zainal


“SAYA reda kami tiada jodoh dan anggap ia sudah suratan takdir.

“Saya percaya Allah S.W.T tahu apa yang terbaik buat kami,” kata pelakon kacak Erwin Dawson, 29, ketika mengulas hubungan cintanya yang sudah berakhir dengan pelakon meningkat naik Julia Farhana Marin, 26.

Menurut pelakon filem Pulang arahan Kabir Bhatia tu, dia menafikan punca perpisahannya dengan Julia kerana orang ketiga.

“Saya mohon maaf tidak dapat mengulas lebih terperinci mengenai perpisahan kami kerana takut orang akan salah tafsir nanti.

“Kami juga bersetuju untuk berpisah secara baik dan meneruskan kehidupan masing-masing,” katanya kepada Harian Metro.

Kata pelakon kelahiran Singapura itu lagi, dia juga sudah tidak berhubung dengan Julia sejak Disember tahun lalu.

“Kami tidak bermusuh selepas berpisah tetapi saya sudah tidak berhubung dengannya lagi.

“Apapun, saya juga tidak ada masalah untuk berganding dengan Julia dalam drama atau filem selepas ini.

“Sebagai pelakon, saya juga sentiasa bersikap profesional ketika bekerja,” katanya.

Dalam laporan Harian Metro semalam, Julia Farhana membuat kenyataan hubungannya dengan Erwin sudah putus kerana tiada persefahaman lagi sejak Disember tahun lalu.

Julia juga memberitahu belum bersedia untuk berumah tangga dan mahu memberi fokus pada karier seni.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 2:36 PM