JOHNNY DEPP (tengah) bersama David dan Roxanne.
JOHNNY DEPP (tengah) bersama David dan Roxanne.
Michelle Gun


BINTANG kontroversi Hollywood, Johnny Depp sememangnya terkenal dengan sikap boros dan suka membeli barang mewah.

Terbaru, pelakon berusia 55 tahun itu dilaporkan menghadiahkan sebotol arak mahal kepada sepasang suami isteri sempena sambutan ulang tahun perkahwinan mereka.

Menurut portal The Sun, Depp membeli minuman keras itu untuk David King dan isteri, Roxanne yang turut berada dalam kereta api Eurostar dari Paris.

Bintang filem Pirates of the Caribbean itu mengucapkan selamat ulang tahun dan turut berbual dengan pasangan berkenaan.

Dia dilaporkan berada di Paris untuk melawat sebuah hospital kanak-kanak di ibu kota Perancis itu.

Roxanne memberitahu The Sun, Depp diiringi pengawal keselamatan peribadinya memasuki gerabak kelas bisnes.

“Suami berbisik memberitahu lelaki itu Johnny Depp. Saya pun bersetuju dengannya.

“Kami duduk tanpa bercakap selama 20 minit sebelum suami membuka mulut dan berkata ‘Baiklah Johnny’. Selepas itu perbualan bermula,” katanya.

Ujar wanita British itu, Depp memberitahu dia hampir tertinggal kereta api kerana terlupa bawa pasport.

“Kami memaklumkan meraikan ulang tahun perkahwinan pertama dan dia kemudian mendapatkan sebotol Champange.

“Malah, dia turut menegaskan mahu minum dengan kami bersama pengawal peribadinya,” katanya.

Menurut Roxanne, mereka berbual selama dua jam dan pelakon itu menceritakan pengalaman melawat hospital berkenaan.

“Dia juga bertanyakan mengenai anak perempuan kami. Sebelum tiba ke destinasinya, dia menandatangi kotak Champange, malah turut memeluk saya selain mengambil gambar kenangan bersama kami.

“Ia sememangnya kenangan indah sebagai penutup percutian ulang tahun perkahwinan kami,” katanya.

Perkembangan lain, Disney mendedahkan jimat jutaan dolar selepas memberhentikan Depp daripada meneruskan wataknya sebagai Kapten Jack Sparrow dalam filem keenam Pirates of the Caribbean.

Forbes melaporkan Disney jimat RM373 juta yang dikhabarkan jumlah bayaran diterima Depp bagi lakonannya dalam setiap filem Pirates of the Caribbean.

Nasib malang Depp bertambah apabila filem lakonannya, City of Angles tidak akan ditayangkan di pawagam Amerika Syarikat. Bukan itu saja, ramai membantah keras lakonannya dalam filem Fantastic Beasts: The Crimes of Grindelwald.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 9:38 PM