MAWI. FOTO Rohanis Shukri
MAWI. FOTO Rohanis Shukri
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI Mawi tidak menjangka filem sulung arahannya yang belum mempunyai tajuk hangat diperkatakan pengguna media sosial.

Bagaimanapun, Mawi, 37, atau nama sebenarnya Asmawi Ani menafikan ia adalah gimik bagi mempromosikan filem yang dijangka ditayangkan pada Mac atau April tahun depan.

“Apa yang berlaku di luar jangkaan saya. Sejujurnya, sehingga sekarang saya masih belum ada idea untuk tajuk filem ini meskipun penggambaran sudah lama selesai.

“Apabila ramai beranggapan saya sengaja mencipta gimik, bagi saya ia sesuatu yang tidak pernah dirancang. Malah tidak pernah terfikir pun nak menjadikan ia tular dan satu bentuk strategi.

“Lagi pula, sejak dari awal penggambaran lagi iaitu pada Februari lalu, saya sudah nyatakan filem ini belum ada tajuk. Sehinggalah baru-baru ini, ia tular dan orang bercakap mengenainya.

“Disebabkan itu ada beranggapan filem saya ini tak ada hala tuju," katanya kepada Harian Metro.

Mawi yang ditemui pada majlis penjenamaan semula program Khairat Kematian YKAT anjuran Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) baru-baru ini berkongsi menerima banyak mesej yang mencadangkan tajuk filem itu.

“Pada awalnya, 'working title' filem ini adalah Rock Sangkut kerana jalan ceritanya dikembangkan daripada telefilem Rock Sangkut. Namun, saya tak nak gunakan tajuk itu.

“Selepas isu berkenaan, saya menerima banyak mesej di Facebook dan Instagram yang memberi cadangan judul filem ini. Malah, ada juga yang minta sinopsis semata-mata nak beri tajuk sesuai,” katanya.

Pada majlis sama, Mawi diumumkan sebagai duta Bumijez Sdn Bhd iaitu syarikat yang menguruskan program Khairat Kematian YKAT selama lima tahun.

“Saya pernah terfikir nak mewujudkan pasukan sendiri bagi menguruskan jenazah. Namun, selepas berbincang dengan rakan masing-masing berasakan perkara ini perlu ada sokongan dan tenaga ramai.

“Selepas setahun, saya dipertemukan dengan syarikat ini. Apa yang saya niatkan selama ini semuanya ada dengan mereka. Jadi, saya berasakan ia lebih mudah. Disebabkan itu, saya bersetuju untuk bekerjasama dengan mereka sebagai duta.

“Bukan saja membantu mempromosikan produk Darul Jenazah dan Darul Pusaka tetapi saya juga akan turun padang di semua acara dan aktiviti anjuran mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 12:23 PM