AYDA Jebat. FOTO arkib NSTP
AYDA Jebat. FOTO arkib NSTP
Norhayati Nordin


PELAKON dan penyanyi Ayda Jebat, 26, meminta maaf kepada sesiapa saja yang terasa hati dan terguris dengan kata-katanya terhadap saiz kaki pelakon dan pengacara, Sherry Alhadad, baru-baru ini.

Ayda berkata, sejujurnya dia tidak pernah berniat mahu menghina sesiapa, apatah lagi Sherry. Jelasnya, perkara itu sudah pun dirancang mereka lebih awal.

"Sebenarnya, saya dan Sherry ada berbincang mengenai perkara itu sebelum kami muncul bersama menjayakan program berkenaan.

"Bagaimanapun, biasalah apabila bersiaran langsung ada kalanya perkara yang dirancang itu akan jadi terlebih atau terkurang.

"Memandangkan ia sudah berlaku, maka saya terima kecaman daripada netizen dengan rasa tanggungjawab kerana melafazakan dialog sebegitu," katanya.

Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat berkata semoga dengan permohonan maaf dan penjelasannya, perkara itu tidak dipanjangkan lagi.

Ujar penyanyi yang popular dengan lagu Pencuri Hati ini, insiden yang berlaku itu turut menjadi peringatan bermakna buat dirinya.

"Apapun, saya dengan perasaan rendah hati memohon maaf kepada mereka yang terasa hati atau terguris dengan kata-kata dialog diluahkan itu.

"Namun, saya percaya dan yakin dengan apa yang berlaku itu ada hikmahnya. Baik atau buruknya, saya terima dengan berlapang dada.

"Saya juga mengambilnya sebagai pendekatan dalam proses pembelajaran untuk memperbaiki diri ke arah lebih berhemah pada masa akan datang.

"Justeru, saya turut melihat setiap kecaman dan teguran yang datang daripada netizen itu kerana mereka sayangkan saya. Jadi, saya terima dengan positif," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video Ayda memperkatakan saiz kaki Sherry gemuk hingga menyebabkan dia akhirnya dikecam hebat oleh netizen.

Kebanyakan netizen yang menulis komen mula mengecam Ayda dengan menuduh pelakon drama Cinta Bukan Kristal itu melakukan 'body shaming' terhadap Sherry.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 10:51 PM