XPDC (Kita Peng Yu) yang dianggotai (dari kiri) Zuar, Jeff, Mael dan Amy bakal terbit album terbaru. FOTO Ihsan XPDC (Kita Peng Yu)
XPDC (Kita Peng Yu) yang dianggotai (dari kiri) Zuar, Jeff, Mael dan Amy bakal terbit album terbaru. FOTO Ihsan XPDC (Kita Peng Yu)
Ridzuan Abdul Rahman


VOKALIS kumpulan XPDC (Kita Peng Yu) Mael menjelaskan tiada unsur penipuan dalam sistem penjualan album terbaru mereka yang sedang dalam pembikinan.

XPDC cuba melakukan kelainan dalam pemasaran album terbaru mereka apabila memperkenalkan sistem tempahan awal atau pra tempahan di mana peminat perlu membayar wang terlebih dahulu sebelum memiliki album.

“Proses rakaman album terbaru XPDC memang sedang rancak berjalan. Kami agak lambat menyiapkannya kerana agak sibuk dengan undangan mengadakan persembahan.

“Selain itu faktor kesihatan saya yang tak menentu juga membuatkan saya belum berpeluang masuk studio.

“Diharapkan peminat-peminat setia kami bersabar kerana album ini pasti akan dapat disiapkan nanti,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Mael, peminat perlu mempercayai kejujuran mereka dan XPDC sedia memulangkan kembali wang jika mereka berasa ragu.

“Kalau peminat rasa tertipu, kami boleh pulangkan balik duit yang sudah dimasukkan. Tapi saya percaya peminat kami amat setia.

“Sampai masanya album itu akan sampai ke tangan anda okay! Itu saja janji saya kepada anda selagi hayat dikandung badan,” katanya.

Sebelum ini, hebahan mengenai promosi pembelian album XPDC 2018 yang dibuat menerusi Facebook pengurus mereka, Bro Yazid mendapat sambutan hangat daripada peminat setia kumpulan heavy metal popular ini.

Tambahan pula, promosi untuk pra tempahan turut disertakan dengan teaser pendek lagu terbaru XPDC tanpa vokal membuatkan peminat teruja dan ternanti-nanti hasilnya yang sempurna nanti.

Dengan bayaran RM150 yang dikeluarkan, peminat bakal memiliki sebuah album baru yang mengandungi enam atau lapan lagu serta cenderahati jenama XPDC.

Album XPDC hanya akan dijual menggunakan kaedah itu, sekali gus tidak boleh diperolehi di kedai menjual kaset atau CD seperti sebelumnya.

Selain Mael, XPDC (Kita Peng Yu) turut dianggotai oleh Jeff (gitar utama), Zuar (bass) dan Amy (drum).

Sekitar 1990 sehingga awal 2000, XPDC dianggotai oleh Mael, Izo, Zuar dan Amy berjaya mencatat penjualan album terbaik sehingga melebihi 100,000 unit antaranya menerusi album Darjah Satu (1990), Timurbarat (1992), Kita Peng-Yu (1994), Brutal (1997) serta beberapa kompilasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 1:39 PM