Azharina enggan dedah kos. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Azharina enggan dedah kos. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Michell Gun


PENYANYI Azharina Azhar mendedahkan Lakar Janji adalah lagu paling mahal dihasilkan sepanjang 18 tahun karier seninya.

Bagaimanapun, Azharina ketika majlis pelancaran Lakar Janji, hari ini enggan mendedahkan kos keseluruhan lagu itu dan hanya memberitahu berbelanja puluhan ribu untuk produksi sahaja.

“Banyak wang dikeluarkan untuk hasil video muzik dan rakaman secara langsung di studio. Ini belum termasuk bayaran lain seperti promosi dan pelancaran yang sudah tentu memerlukan bajet tinggi,” katanya.

Menurutnya, lagu ciptaan Dr Irma Shida itu mengambil tempoh lebih setahun untuk disiapkan sepenuhnya kerana mahu memberi hasil berkualiti.

“Dua tahun lalu, Dr Irma menghantar demo Lakar Janji kepada saya. Namun, saya tidak terus setuju untuk kolaborasi kerana mahu mengenali dia dengan lebih rapat dulu.

“Hanya pada Julai lalu, barulah saya mula proses rakaman lagu,” katanya popular menerusi lagu Elegi Sepi.

Penyanyi berusia 33 tahun itu berkata berpuas hati dengan hasil Lakar Janji yang menjadi antara lagu terbaik pernah dikeluarkannya.

“Sebenarnya, lagi ini sangat mencabar sehingga dua kali masuk studio di Melaka untuk menambahbaik apa yang perlu.

“Sepanjang karier, tak pernah saya rakam lagu sampai perlu masuk studio lebih dari sekali.

“Bagi pendengar, Lakar Janji mungkin kedengaran seperti lagu biasa. Namun ia susah kerana nada tinggi dan lain dari lagu dibawa sebelum ini,” katanya.

Lakar Janji akan diputarkan di stesen radio tempatan dan platfom digital pada 1 November ini.

Manakala muzik video lagu itu sudahpun dimuat naik di YouTube, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 7:17 PM