NAMUN visual klip video muziknya cuma gambaran yang diilham penerbit.
NAMUN visual klip video muziknya cuma gambaran yang diilham penerbit.
Rudy Imran Shamsudin

Sebelum ini, sewaktu single Demi Cinta diedarkan, lagu itu dikatakan kisah kehidupan sebenar penyanyinya, Ezad Lazim.

Liriknya dikatakan menceritakan perkara yang pernah dilalui bekas penyanyi utama kumpulan Exist itu apabila terjebak dengan penagihan dadah serta bagaimana dia bangkit untuk melawan masalah dihadapi. Turut diceritakan bagaimana isteri merangkap pengurusnya, Nor Azeana Ramli menjadi sumber kekuatannya untuk pulih di samping keluarga.

Bagaimanapun, Ezad atau Mohd Rohaizad Mohd Lazim, 36, menjelaskan walaupun lirik lagu Demi Cinta itu mengisahkan hidupnya, ia juga pernah dirasai orang lain.

Menilai pada sudut lirik lagu, kisah hidup Ezad digambarkan dalam kiasan ayat dan perkataan tetapi apabila diangkat sebagai jalan cerita klip video dan dipaparkan menerusi visual, impaknya lebih nyata.

Tambah pula apabila kisah hidup Ezad yang pernah terbabit dalam penagihan dadah dan ditangkap pihak berkuasa dipaparkan dalam klip video terbabit.

Menerusi jalan cerita klip video Demi Cinta, turut menunjukkan babak pelakon yang membintangi klip video terbabit memukul isterinya akibat masalah ketagihan dadah yang dihidapi. Adakah perkara itu turut berlaku dalam rumah tangga Ezad?

Ezad bagaimanapun menegaskan dia sendiri tidak melihat lagi keseluruhan klip video Demi Cinta dan tidak tahu bagaimana jalan cerita dan gambaran yang dipaparkan.

“Pembabitan saya untuk klip video itu hanya pada visual mendendangkan semula lagu terbabit berselang-seli dengan lakonan drama pendek yang dihasilkan.

“Mungkin perjalanan cerita dan visual dihasilkan itu diilhamkan daripada kisah dan lirik lagu Demi Cinta dan ia bukan kisah hidup saya semata-mata,” katanya.

Dalam berseloroh Ezad menjelaskan, babak pelakon lelaki memukul isterinya memang tidak pernah berlaku dalam rumah tangganya. Malah, kata penyanyi yang pernah membintangi filem komedi itu, dia yang selalu dipukul isteri.

“Sebenarnya apa yang ingin pihak syarikat rakaman saya gambarkan dalam klip video Demi Cinta itu bagaimana seorang penagih mempunyai keinginan tinggi untuk berhenti, berhadapan dengan cabaran dan dugaan.

“Malah masalah rumah tangga dan kehidupan porak-peranda digambarkan dalam klip video Demi Cinta itu juga di alam realiti benar-benar berlaku,” katanya.

Bagi Ezad, klip video itu penting untuk gambarkan kesan negatif bagi mereka yang terjebak dengan dadah supaya menjadi pengajaran.

“Ia juga memaparkan penagih boleh bangkit dan membina hidupnya menjadi lebih baik dan positif sekiranya mendapat sokongan penuh daripada orang yang disayangi.

“Hakikat sebenar, kisah hidup yang saya lalui tidaklah seteruk apa yang digambarkan dalam klip video itu. Realitinya, ia bukan cerita saya sepenuhnya,” katanya.

Sentiasa berteman ke mana saja

Penggambaran klip video Demi Cinta juga dilakukan tiga hari selepas Ezad dimasukkan ke hospital kerana berhadapan masalah kesihatan.

“Saya tidak tahu tahap kesihatan saya sekarang. Selepas dimasukkan ke hospital di kampung saya di Kedah tempoh hari, ingatkan saya semakin baik.

“Bagaimanapun baru-baru ini apabila silap makan, ia datang semula dan saya muntah-muntah,” katanya.

Tegas penyanyi bersuara gemersik itu, disebabkan masalah kesihatan juga syarikat rakamannya, MVM Production terpaksa menggunakan pelakon lain memegang watak lelaki dalam klip itu sementara dia menyanyi sahaja.

Disebabkan keadaan kesihatan belum pulih sepenuhnya juga, pulang daripada menjalani penggambaran klip video itu dia muntah tetapi tidak sampai harus dikejarkan ke hospital.

“Sekarang ini pun saya tidak boleh bekerja terlalu teruk kerana khuatir ia akan mengganggu tahap kesihatan badan. Namun saya anggap ini adalah dugaan dan cabaran yang Allah beri, agar saya menjadi lebih baik dan mengajar saya untuk lebih berwaspada membabitkan kesihatan diri.

“Dalam keadaan kesihatan tidak menentu ini, sekarang saya perlukan orang untuk menemani ke mana sahaja saya pergi. Saya tidak boleh lagi bergerak seorang diri seperti dulu.

“Saya perlu bekerja dalam satu pasukan dan jadual harus diatur sebaik mungkin supaya tidak terlalu penat sehingga menjejaskan kesihatan,” katanya.

Berhadapan dengan situasi sangat mencabar itu, Ezad syukur apabila single Demi Cinta diterima baik peminat. Ia kini berada dalam semua carta lagu popular stesen radio di seluruh negara dan klip YouTube lagu itu dilayari hampir 5 juta orang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2016 @ 5:05 AM