ANIS, Sheryl serius karier nyanyian meskipun terkejut ditawarkan kontrak.
ANIS, Sheryl serius karier nyanyian meskipun terkejut ditawarkan kontrak.
Oleh Rudy Imran Shamsudin


Hendak dikira pada sudut siapa lebih senior, sudah tentu pelakon jelita sedang mencipta nama, Anis Al-Idrus, 28, lebih dikenali umum andai hendak dibandingkan dengan pendatang baru, Sheryl Shazwanie Shamsulbahri, 19.

Melihat pada usia sahaja, kita tahu Sheryl masih muda dan perjalanan kerjaya seninya masih jauh.

Pada sudut personaliti juga, mereka berdua berbeza, Anis atau Sharifah Anis Syed Zainal Al-Idrus lebih tinggi dan berwajah jelita manakala Sheryl bertubuh kecil dan comel.

Dalam perbezaan yang wujud antara mereka berdua, pasti ramai bertanya apa signifikannya mereka ditemukan dalam sesi fotografi khas.

Anis yang dulu bergelar pelakon, kini mengembang­kan bakatnya ke bidang nyanyian dan tampil dengan single Mengapa.

Sheryl pula pernah dikenali sebagai penghibur di laman sosial dan diminati selepas memuat naik rakaman nyanyian Kun Anta dan Janam Janam. Kedua-dua video nyanyiannya menjadi viral dan disaksikan jutaan pelayar.

Bakatnya mendapat perhatian Pengarah Urusan Studio 57, Hadi Rumnan seterusnya dilamar menjadi artis rakaman dan menghasilkan single Hati Hati Dengan Cinta.

Walaupun masih baru, sebaik dimuat naik ke laman sosial YouTube, video lirik Mengapa dan Hati Hati Dengan Cinta mencecah puluhan ribu penonton.

Anis pula tertarik untuk mencuba bidang nyanyian apabila wakil Music Space Sdn Bhd datang merisik.

Katanya, minat sudah lama ada tetapi kerana terikat komitmen pada kerjaya lakonan dan kini sibuk pula menguruskan perniagaan, membuatkan keinginan itu terperap.

“Kebetulan sewaktu wakil Music Space, Nasir Deraman datang bertemu dan bertanya sama ada saya berminat, waktu itu tanggungjawab terhadap dunia lakonan dan juga perniagaan berkurangan.

“Ibaratnya tawaran datang tepat pada masa dan situasi. Ini kerana drama terbaru lakonan saya, Uda dan Dara baru saja habis penggambaran dan perniagaan pula semakin stabil dan ada kakitangan menguruskannya,” katanya.

Sheryl pula tidak menjangka hobinya yang suka merakam nyanyiannya dan memuat naik ke laman sosial mendapat perhatian penggiat industri muzik.

Katanya, niat asal hanya suka-suka dan memenuhi waktu lapang tetapi kini nyanyian menjadi kerjaya tetapnya.

“Saya mula merakam lagu sejak usia 15 tahun dan memuat naik di laman sosial. Saya juga pernah masuk pertandingan nyanyian sewaktu kanak-kanak.

“Dalam banyak-banyak lagu yang saya nyanyikan, rakam dan muat naik ke laman sosial, paling menjadi perhatian umum adalah lagu Kun Anta dan Janam Janam,” katanya.

Sheryl akui walaupun video nyanyiannya viral, tidak pernah sekali pun dia terfikir mahu menjadi artis rakaman. Kerana itu apabila wakil daripada Studio 57 datang mempelawanya menjadi artis rakaman, dia terus menerimanya tanpa berfikir panjang.

“Waktu itu saya berasakan, mengapa tidak saya ambil peluang ini. Mana tahu ada jalan yang Allah mahu

tunjukkan kepada saya. Tambah pula ia boleh menjadi sumber rezeki walaupun ketika ini, saya belajar di Unisel dalam bidang Perakaunan,” katanya.

Sheryl mahu menjadikan bidang nyanyian sebagai kerjaya dan tidak lagi hobi seperti dulu. Katanya, apabila datang tawaran, ia menunjukkan ada pihak yakin bakatnya boleh dikembangkan dan dia mampu pergi jauh dalam industri muzik tempatan.

“Kalau nanti lagu Hati Hati Dengan Cinta tidak berjaya, saya tidak akan kecewa kerana boleh berusaha dengan menghasilkan single kedua.

“Begitupun, apa yang saya nampak, sebaik lirik video lagu Hati Hati Dengan Cinta dimuat naik ke YouTube, ia dilayari hampir 30,000 orang hanya dalam masa beberapa minggu. Ia perkembangan positif untuk saya,” katanya.

Katanya, walaupun nanti usahanya untuk menempatkan diri dalam industri muzik tidak berjaya dia akan kembali memberi tumpuan kepada bidang Perakaunan.

Begitupun, dia mahu bersikap positif dan meletakkan soal gagal di garisan paling akhir dalam usahanya membina kerjaya sebagai penyanyi.

Anis optimis perkembang bakat

Wajah Anis mula menjadi perhatian apabila sering menghiasi majalah kemudian jadi pelakon. Watak Maya Karmila dalam Selamat Malam Kekasih menyerlahkan namanya. Drama lain dibintangi ialah Gemersik Kalbu, Walid Walid, Tangisan Bulan Madu 2 dan Cuak.

Memiliki ijazah Perniagaan Antarabangsa peng­khususan Perbankan dan Kewangan Universiti Pengurusan dan Sains (MSU), Anis juga mengusahakan tudung Nish By Anis Al Idrus.

Pernah menjadi penyampai berita dan wartawan penyiaran, kini Anis melangkah setapak lagi menjadi penyanyi pula.

Kata Anis, tujuannya jadi penyanyi bukan untuk bersaing dengan sesiapa tetapi lebih kepada mengembangkan bakat sedia ada.

“Bermula dengan niat untuk mencuba, tidak sangka pula ia mendapat maklum balas positif. Bayangkan tidak sampai tiga minggu dimuat naik di YouTube, lagu Mengapa didengar lebih 20,000 orang.

“Pada saya, sebagai orang baru dalam industri muzik, ia perkembangan yang sangat memberangsangkan,” katanya.

Mempertaruhkan lagu Mengapa yang dicipta dan ditulis liriknya oleh May Lee, ia antara lain mengenai luahan mengenai kelukaan hati ditinggalkan seseorang.

Bagaimanapun, Anis yang pernah dikaitkan dengan pelakon kontroversi, berharap lagu itu tidak dikaitkan dengan sesiapa. Tegasnya, lagu itu tidak ada kena-mengena dengan hidupnya.

“Sebagai penyanyi, saya hanya menyanyikan lagu dan lirik yang disiapkan lebih awal oleh komposer. Kalau pun ada kaitan, perkara itu berlaku secara tidak sengaja.

“Saya sendiri tidak menjangkanya malah tidak terfikirkan mengenai perkara itu sewaktu mendendang­kannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2016 @ 5:02 AM