SYAFIQ FARHAIN. -Foto HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
SYAFIQ FARHAIN. -Foto HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Sudirman Mohd Tahir


KEMUNCULAN penyanyi Syafiq Farhain dalam sebuah program realiti Big Stage, baru-baru ini membantu meningkatkan lagi popularitinya.

Walaupun gagal bergelar juara, Syafiq, 24, atau nama sebenarnya Nursyafiq Farhain A M Salim antara peserta yang sering mencuri tumpuan pada setiap minggu.

Pada masa sama, Syafiq yang popular menerusi lagu Sayang Maafkan Aku itu tidak menjadikan status sebagai anak kepada penyanyi legenda Saleem itu sebagai batu loncatan untuk lebih dikenali.

Walaupun setiap persembahannya dibayangi bapa terutama dari segi lantunan vokal, Syafiq tetap memiliki ciri khas dan keunikan tersendiri.

Apa yang pasti, sepanjang pertandingan itu Syafiq menjadi satu-satunya peserta yang mampu menarik perhatian juri iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza hingga mempelawanya untuk berduet.

Namun, menurut Syafiq, dia tidak mahu termakan dengan pujian hingga membuatkan dirinya mudah lupa.

“Sejujurnya, hingga sekarang saya masih tidak menjangka Tok Ti (Siti) mempelawa saya untuk berduet. Sebagai penyanyi baru sudah semestinya ia satu penghargaan buat saya.

“Walaupun ia disampaikan dalam bentuk komen dan menganggap ia sekadar gurauan, ia sedikit sebanyak menyuntik semangat saya untuk terus melangkah jauh dalam bidang ini.

“Siapa saya untuk dibandingkan dengan Tok Ti yang sudah melakar pelbagai kejayaan di dalam dan luar negara. Namun, jauh di sudut hati saya berharap dapat bekerjasama dengan Tok Ti suatu hari nanti. Siapa yang tidak mahu berduet dengan penyanyi terbaik negara ini?” katanya.

Pun begitu, Syafiq tidak mahu cepat membanggakan diri kerana jika diukur dari segi pengalaman dalam bidang ini, dirinya masih terlalu mentah.

Malah, jika mahu dibandingkan dengan penyanyi baru lain, Syafiq juga berasakan dirinya masih ketinggalan dengan mereka.

“Saya antara peminat Tok Ti dan kagum dengan suaranya. Begitu juga personalitinya yang cukup disenangi semua orang.

“Kalau betul diberi peluang ini, saya mahu mendalami ilmu dengannya dan berharap kerjasama ini dapat direalisasikan.

“Jika diberi pilihan juga, saya ingin menyanyikan lagu bergenre balada kerana ia lebih dekat dengan jiwa. Pada masa sama, seperti semua sedia maklum Tok Ti berkebolehan menyanyikan pelbagai genre lagu,” katanya.

Jadi pelakon

Selain menyanyi, dalam diam Syafiq kini mengembangkan bakat dalam bidang lakonan pula apabila terbabit dalam filem Hero The Movie.

Filem yang mengangkat kisah anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat itu turut menampilkan lakonan Hisyam Hamid, Bell Ngasri dan Mark Adam.

“Alhamdulillah, saya menganggap ini rezeki daripada Allah. Memandangkan saya juga berkhidmat dalam bomba, jadi tidak salah jika saya cuba berlakon.

“Biarpun ini penampilan sulung saya sebagai pelakon, saya berasa teruja untuk meneroka cabang baru. Bagi saya, tidak ada yang mustahil dilakukan.

“Cuma, banyak perkara perlu dipelajari terutama dari segi lakonan dan lontaran dialog. Saya berterima kasih kepada semua pelakon terbabit kerana banyak membantu,” katanya.

Syafiq juga meluahkan rasa syukur apabila kerjaya barunya itu mendapat sokongan Jabatan Bomba dan Penyelamat selaku majikan.

“Sebelum ini mereka meluluskan permohonan cuti tanpa gaji selama dua bulan kerana terbabit dalam program realiti. Sekarang, apabila saya berlakon pula, mereka tidak menghalang.

“Sebaliknya mereka memberikan sokongan. Mungkin mereka nampak bakat saya dalam bidang seni.

“Apa yang pasti, kerjaya baru ini tidak mengganggu kerja saya. Semuanya sudah diatur dengan baik supaya tidak ada yang terganggu,” katanya.

Kesibukan Syafiq dalam bidang seni kini menimbulkan persoalan adakah dia bakal melepaskan jawatan dalam pasukan beruniform itu?

“Buat masa sekarang, saya masih dengan jawatan sama. Tiada terfikir untuk berhenti kerja semata-mata mahu fokus menyanyi. Bagi saya, biar kedua-duanya bergerak seiring,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Syafiq juga muncul dengan single terbaru berjudul Aku Jatuh Cinta yang turut dipersembahkan pada pentas akhir program Big Stage, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 6:00 AM