FOTO IG Elfira Loy
FOTO IG Elfira Loy
Najiy Jefri

“APA yang terbuku di hati biarlah tersimpan di dalam hati. Kerana hati sudah dimiliki," luah pelakon Elfira Loy yang mengaku hatinya kini sudah berpunya.

Elfira menerusi akaun Instagram miliknya turut mengesahkan berlangsungnya sebuah majlis istimewa pada 2 September lalu dan berkongsi foto pada hari berkenaan.

“Saya berkongsi kepada anda sekeping foto pada majlis istimewa yang berlaku tahun ini. Saya sangat gembira, terharu dan tersentuh," tulisnya.

Menurut Elfira, dia akan berkongsi semua foto berkaitan kehidupan peribadi di Instagram.

“Instagram adalah album digital saya untuk selamanya dan saya suka untuk berkongsi apa yang saya suka, cinta dan luahkan apa sahaja di ruang ini,” katanya.

Awal September lalu, berlaku satu majlis merisik dan bertunang secara tertutup antara pelakon itu dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai Muhammad Faris Khairol Anuar.

Majlis berkenaan diadakan di kediamannya yang terletak di Alam Damai, Cheras, namun tiada pihak mengesahkannya termasuklah ahli keluarga.

Hubungan Elfira dengan lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pengurus besar di sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka di ibu kota mula dihidu beberapa bulan lalu apabila dia memuat naik foto bersama.

Sebelum ini, Elfira pernah bertunang dengan penyanyi Sufian Suhaimi pada 6 Oktober 2017 dalam sebuah majlis besar-besaran, namun pertunangan itu berakhir pada 18 Februari.

Berita berkaitan

Inilah jejaka pilihan Elfira Loy

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 11:50 PM