ELFIRA pertimbang tawaran berlakon.
ELFIRA pertimbang tawaran berlakon.
Michelle Gun


BEBERAPA bulan selepas memutuskan pertunangan dengan penyanyi Sufian Suhaimi, pelakon Elfira Loy sudah bertemu pengganti apabila berkongsi gambar bersama seorang jejaka di Instagram, Ogos lalu.

Beberapa minggu kemudian, kecoh di media sosial apabila pemilik nama sebenar Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri ini dikatakan sudah bertunang dengan pengurus besar sebuah syarikat telekomunikasi, Muhammad Faris Khairol Anuar.

Pelakon berusia 24 tahun itu mengikat tali pertunangan dengan Faris pada 2 September lalu.

Menurut Elfira, majlis pertunangan itu diadakan secara tertutup dan dihadiri kira-kira 100 ahli keluarga dan rakan rapat saja.

“Sebenarnya, perancangan awal hanya untuk merisik tetapi pihak keluarga lelaki mencadangkan untuk terus melangsungkan pertunangan,” katanya.

Jelas pengacara ini, persiapan majlis pertunangan hanya mengambil masa lima hari namun tidak menghebahkan berita baik itu atas permintaan kedua-dua keluarga.

“Entah macam mana, gambar pertunangan tersebar selepas dua jam majlis berlangsung. Terkilan juga apabila perkara ini berlaku.

“Mujur keluarga lelaki memahami, risau juga mereka kurang selesa kerana tidak biasa jadi perhatian awam.

“Mana ada saya lari? Tiada orang kejar,” jawabnya sambil ketawa ketika menjawab pertanyaan media mengenai dakwaan dia cuba mengelak menjawab soalan berkaitan pertunangannya.

Bagaimanapun, bintang drama Separuh Jiwaku itu enggan mendedahkan tarikh perkahwinannya dan hanya memberitahu akan menamatkan zaman bujang tahun depan.

Sementara itu, Elfira memberitahu berkenalan dengan Faris menerusi seorang rakan.

“Ketika berkenalan dengan dia, saya langsung tidak mengetahui latar belakangnya.

“Dia seorang yang merendah diri dan kami mudah serasi. Segala-galanya berjalan lancar dan pantas. Pintu hati saya terbuka untuk menerima Faris.

“Setiap hari saya berdoa moga Faris jodoh saya,” katanya.

Dalam pada itu, Elfira berkata tunangnya tidak menghalang dia meneruskan karier seni selepas berumah tangga.

“Ketika kami berkenalan, saya sudah jadi artis jadi dia perlu terima karier saya. Doakan hubungan kami kekal,” katanya.

Sambung Elfira lagi, sikap jejaka itu yang menghormati dan memahami keadaan keluarganya serta mempunyai visi dalam hidup membuatkan dia tertawan.

Menyentuh mengenai karier seninya, Elfira berkata buat masa sekarang dia belum terbabit dalam sebarang projek lakonan.

Sebaliknya, dia mahu fokus dengan perniagaan kafe yang akan beroperasi semula dalam masa terdekat.

Tegas Elfira, dia akan mempertimbangkan tawaran berlakon sekiranya diberikan watak segar dan ada kelainan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 7:12 AM