WANI Kayrie.
WANI Kayrie.
Najiy Jefri

Walaupun kebanyakan rakan seusianya kini sudah menjejakkan kaki di menara gading, penyanyi Wani Kayrie, 18, mahu memberi fokus terhadap kerjaya nyanyiannya tahun ini sebelum menyambung pengajian tahun depan.

Wani berkata, dia juga sudah memaklumkan kepada keluarganya mengenai perkara itu.

“Tahun ini memang saya mahu fokus dengan karier nyanyian selepas beberapa tahun memberi tumpuan kepada pelajaran.

“Alhamdulillah keluarga memahami minat saya dan izinkan saya aktif menyanyi cuma mereka pesan jangan abaikan pelajaran,” katanya.

Sebelum ini, Wani mencatat keputusan cemerlang 7A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Walaupun gagal menepati sasaran untuk mendapat 9A, penyanyi remaja yang popular dengan lagu Aku Suka Kamu itu nyata gembira dengan pencapaiannya.

Wani turut menyatakan dia mungkin akan melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan.

Ditanya mengenai persiapan menjelang konsert akhir sebuah program realiti Ahad ini, Wani berkata, dia tidak meletak harapan tinggi sebaliknya akan berusaha yang terbaik.

“Semua finalis memberi saingan sengit pada minggu separuh akhir Ahad lalu membuatkan saya tidak boleh duduk diam.

“Saya akan cuba sehabis baik dan bersyukur sudah sampai ke tahap ini. Doakan supaya urusan saya dipermudahkan,” katanya.

Wani berjaya ke konsert akhir bersama Baby Shima, Sarah Suhairi, Afieq Shazwan dan Syafiq Farhain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 12:03 PM