WANI bersama ahli keluarga dan rakan artis.
WANI bersama ahli keluarga dan rakan artis.
Michelle Gun

Berbeza dengan remaja lain, penyanyi Wani Kayrie memilih untuk tidak meminta hadiah ulang tahun kelahiran daripada ibu bap.

Penyanyi lagu Jangan Jangan itu baru saja menyambut ulang tahun ke-18 bersama keluarga, rakan artis, peminat dan wakil syarikat rakaman SRC di sebuah hotel di ibu kota pada 17 Mac lalu.

Kata Wani, dia enggan menyusahkan ibu bapanya yang perlu menanggung dua adik masih belajar.

“Ibu bapa sudah banyak berkorban untuk saya, jadi tidak mahu membebankan mereka beli hadiah.

“Saya perlu bertimbang rasa kerana ada adik kecil,” katanya yang mendapat keputusan cemerlang 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Mengakui agak terkejut dengan keputusan peperiksaan itu, Wani mengakui belajar bersungguh-sungguh kerana statusnya sebagai artis.

WANI.
WANI.

“Ibu bapa minta melakukan yang terbaik dalam SPM kerana saya dikenali orang ramai. Mereka tidak mahu saya gagal dalam pelajaran,” katanya.

Mengenai perancangannya selepas tamat SPM, penyanyi ini belum memutuskan untuk menyambung pengajian kerana mahu fokus terhadap karier nyanyiannya.

“Tahun lalu saya memberi fokus sepenuhnya dalam pelajaran selama dua bulan dan sepanjang tempoh itu, saya berehat daripada semua aktiviti seni.

“Sekarang tiba masanya saya kembali menumpu perhatian terhadap nyanyian dan merancang menyertai pertandingan nyanyian World Championship of Performing Arts (WCOPA).

“Selepas tamat SPM, ada beberapa institusi pengajian tinggi menawarkan kursus dalam jurusan perakaunan.

“Hasrat menyambung pengajian memang ada tetapi bukan sekarang,” katanya.

Ujar Wani, dia merancang melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan atau perniagaan kerana mahu menjadi usahawan.

BERSAMA ibu, Rukiah Kalapukong menyampaikan ucapan ringkas.
BERSAMA ibu, Rukiah Kalapukong menyampaikan ucapan ringkas.

“Dulu saya ingin sambung pengajian dalam bidang muzik. Saya sedar menyanyi adalah bakat sejak kecil, cuma perlu diperbaiki dari masa ke semasa.

“Saya fikir lebih baik mengambil perakaunan atau perniagaan kerana boleh mengeluarkan produk jenama sendiri.

“Saya tidak mahu mengharapkan karier seni saja dan perlu ada inisiatif lain demi masa depan,” katanya.

Antara rakan artis yang hadir memeriahkan majlis ulang tahun Wani ialah Farah Hazel, Sweet Qismina, kumpulan Xpose, Meer Nash, Sarah Fazny dan Maisarah Ukulele.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 2:20 AM