Komposer Sirkhan Danial.
Komposer Sirkhan Danial.
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Komposer Sirkhan Danial menawarkan sebuah lagu baharu hasil ciptaannya kepada pemenang pertandingan Sirkhan Cari Penyanyi yang diadakan di Instagram Live F8Buzz Muzik bermula semalam.

Sir Khan berkata, selepas menerima lebih 300 penyertaan hanya 32 peserta terbaik layak ke peringkat konsert mingguan. 

"Ramai sebenarnya bakat-bakat baharu di luar sana. Ini dapat dilihat di kebanyakan media sosial. Jadi, saya ingin mencari mereka yang benar-benar ingin menjadi penyanyi. 

"Melalui perbincangan dengan media dalam talian, F8Buzz kami bersepakat untuk mengadakan uji bakat dalam  talian hingga terciptalah pertandingan ini bersesuaian dengan norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,"katanya. 

Juara pertandingan Sirkhan Cari Penyanyi bakal memenangi sebuah lagu ciptaan Sirkhan yang akan diterbitkan oleh Whiteroom Music. 

Selain itu, pemenang juga akan mendapat tajaan muzik video dan sesi fotografi profesional.

Antara juri yang terbabit dalam pertandingan ini ialah Sufian Suhaimi, Wany Hasrita, Bob Yusof, Sarah Suhairi, Aiman Tino dan Hael Husaini.

Selain itu, komposer Ibnu Rinkarnaen dan Zack Merican pula akan bertindak sebagai juri tetap disamping Sirkhan.

Menurut Sirkhan, dia berharap inisiatif yang dilakukan dapat melahirkan ramai bakat baharu seni suara yang mempunyai impian besar memasuki industri seni. 

"Semalam berlangsung pusingan pertama membabitkan lapan peserta dan akhirnya dua peserta terbaik berjaya dipilih untuk ke peringkat separuh akhir. 

"Malam ini bakal berlangsung pula pusingan kedua dengan kehadiran penyanyi Wany Hasrita sebagai juri jemputan. Kami akan memilih dua lagi peserta terbaik, diikuti dengan dua kumpulan yang belum membuat persembahan pada tarikh yang akan diumumkan," katanya. 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 3:35 PM