PENYAMPAI Radio Kool FM, dari kiri, AG Azmeer, Haiza dan Muaz.
PENYAMPAI Radio Kool FM, dari kiri, AG Azmeer, Haiza dan Muaz.
Ardini Sophia Sina


STESEN radio Kool FM kini tampil dengan konsep baharu dengan mengetengahkan lebih banyak perbincangan membabitkan isu semasa, sosial dan komuniti sejak Isnin lalu.

Stesen radio kendalian Ripple, anak syarikat Media Prima Berhad itu juga tampil dengan ‘tagline’ baru iaitu Suara Semasa.

Pengurus Besar Kumpulan Audiens & Pemasaran Ripple, Anida Tahrim berkata, mereka yakin untuk mengupas lebih banyak isu semasa yang bakal memberi impak kepada pendengar.

“Melalui Kool FM Rebirth, kami yakin mampu meneroka lebih banyak idea dari pelbagai dimensi yang kreatif dalam mengupas isu semasa, sosial dan komuniti sekali gus memberikan kesan positif kepada pendengar.

"Dengan pembaharuan ini juga, sasaran pendengar lingkungan usia 25 tahun ke atas berpeluang menyuarakan pendapat atau pandangan mereka mengenai topik yang dibincangkan setiap hari dan juga memberi peluang kepada jemputan dan pakar untuk menjelaskan sebarang persoalan daripada pendengar," katanya.

Anida turut berharap platform yang disediakan itu mampu menjadi perantara komunikasi atau perbincangan dua hala agar dapat menjelaskan kemusykilan dengan lebik baik.

Kool FM masih mengekalkan penyampai AG, Haiza dan Muaz sebagai penyeri Pagi Hari Di Kool (PHD Kool) akan membahaskan isu semasa nasional dan dunia merangkumi topik polisi, teknologi, sukan, gaya hidup, kesihatan serta isu-isu komuniti.

Rea pula bakal menggalas tugas bagi bermula jam 10 pagi hingga 3 petang menyajikan pengisian gaya hidup, isu viral, motivasi dan hiburan.

Sementara itu, Linda Onn akan bersiaran pada jam 3 petang hingga 7 malam bakal membincangkan isu nasional, dunia, keusahawanan, sukan dan hiburan dengan gaya lebih santai dan bersahaja.

Dari jam 7 hingga 8 malam pula, pendengar boleh merehatkan minda dengan tazkirah Maghrib daripada ustaz jemputan menerusi Refleksi Kool dan diikuti seleksi lagu-lagu terbaik era 80-an, 90-an hingga terkini akan dimainkan bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 7:16 PM