Syanty Octavia Amry


Seramai 30,000 pengunjung hadir memeriahkan konsert Hot Kool Jam yang julung kali diadakan dua stesen radio iaitu Hot FM dan Kool FM. Berada di bawah rangkaian sama, Rangkaian Radio Media Prima (RRMP), pertaruhan gabungan itu nyata berjaya.

Seawal jam 4 petang dan berakhir pada jam 11 malam, konsert diwarnai dengan persembahan 25 artis hebat tanah air.

Pengurus Besar Kumpulan, Rangkaian Radio Media Prima Anida Mohd Tahrim berkata, sambutan yang diterima untuk Hot Kool Jam baru-baru ini di luar jangkaan.

“Kami aturkan kolaborasi antara Hot FM dan Kool FM demi memberi kepuasan kepada kedua-dua pendengar yang berlainan generasi ikutan muzik.

“Malah, pilihan artis untuk Hot Kool Jam juga diperinci kerana kami mahukan gabungan mantap pentas berkenaan. Nampaknya pengunjung dan pendengar kami yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur menerima idea ini dengan baik.

“Kerjasama yang kami terima daripada barisan artis juga amat baik. Bukan sesuatu yang mudah untuk menerbitkan konsert skala besar sebegini dengan konsep yang baru,” katanya.

Anida berkata, perancangan rapi seawal tiga bulan dimulakan dengan pencarian lokasi yang tepat serta artis yang bersesuaian.

“Ternyata komitmen yang mereka berikan amat tinggi kerana barisan artis yang membuat persembahan pada waktu malam terutamanya terpaksa menjalani sesi latihan yang agak padat untuk lagu-lagu ‘mash up’ susunan AG (Hujan).”

“Kami akan cuba memberi satu sinergi yang berkualiti melalui Hot FM dan Kool FM sekiranya pengisian atau acara yang bakal dijalankan mempunyai objektif yang sama.

“Bagi pengurusan, konsert ini tidak mampu mencapai piawaian kami tanpa hasil usaha keras pasukan belakang tabir RRMP yang bertungkus-lumus memastikan segalanya terkawal dan berjalan lancar,” katanya.

Konsert Hot Kool Jam adalah permulaan langkah yang baik Kool FM sebagai stesen radio komersial termuda tanah air dan melalui pembaharuan barisan hadapan Hot FM yang lebih segar, RRMP merangka beberapa kolaborasi acara untuk pendengar mereka bagi 2016.

Untuk rekod, Hot FM menyasarkan pendengar Gen Y manakala Kool FM memfokuskan generasi muzik 80-an hingga terkini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2016 @ 8:53 AM