HOT FM terus ambil risiko untuk kekal relevan dan kukuh.
HOT FM terus ambil risiko untuk kekal relevan dan kukuh.
Oleh Georgie Joseph

Dengan saingan daripada radio ‘online’ serta lebih pilihan medium buat pendengar muzik, tentu sekali kesan hebat itu paling dirasai stesen radio.

Cabarannya semakin ketara menuntut setiap stesen radio perlu terus kekalkan kualiti, relevan, bahkan sentiasa terus membuat pembaharuan.

Menjadi antara stesen radio tempatan yang kekal disegani sehingga kini, Hot FM juga tidak terkecuali menyahut cabaran itu dengan menampilkan pembaharuan demi pembaharuan seiring permintaan pasaran.

Penghujung tahun lalu misalnya, rombakan terhadap pe–nyampai radionya memberikan nafas baru buat stesen radio itu dalam memastikan pendengar kekal setia selain terus memikat pengikut baru.

Pengurus Besar Kumpulan Rangkaian Radio Media Prima, Anida Mohd Tahrim berkata, pembaharuan saja tidak cukup kerana terus mengambil risiko serta mengetengahkan bakat baru lebih penting.

“Kehadiran penyampai baru seperti Fizi, Haziq dan Tun Nadia jelas mengubah sedikit demi sedikit dimensi stesen radio berkenaan memandangkan mereka pun masih segar. Percaturan memberikan mereka tugasan mengendalikan segmen tertentu turut berhasil apabila berjaya memberikan ‘udara’ baru buat pendengar.

“Sudah menjadi kebiasaan untuk mana-mana stesen pun untuk menampilkan pembaharuan. Bagaimanapun, bukan saja dari segi isi kandungan dan hala tuju perlu dititikberatkan, sebaliknya pencarian bakat yang benar-benar kuat pun antara cabaran perlu dihadapi,” katanya.

Anida berkata, mengetengahkan penyampai baru dan rombakan beberapa segmen adalah langkah pertama untuk perubahan besar di Hot FM.

“Kami mengambil risiko yang agak besar juga, tapi itu cara terbaik untuk terus berkembang di samping terus membuat kajian demi memperbaiki stesen,” katanya.

Anida juga tidak menafikan wujud pro dan kontra berikutan pembaharuan itu seperti jumlah pendengar akan menurun. Namun, pengenalan segmen baru dijangka mampu meningkatkan kembali jumlah pendengar.

“Meletakkan Fizi di segmen pagi agak berisiko. Ini kerana segmen pagi paling mencabar di mana pendengar yang terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas akan mengikutinya.

“Bagaimanapun, ia satu percaturan yang pada masa sama memberikan peluang kepada Fizi menonjolkan potensi diri,” katanya.

Dari segi strategi, Hot FM juga tidak ketinggalan mahu terus seiring dengan arus teknologi di mana ketika ini pende–ngar lebih banyak bergantung kepada pelbagai alat peranti.

“Kami turut me–ngambil pendekatan untuk lebih agresif di media sosial dan ‘online’ memandangkan pendengar lebih suka akses daripada telefon bimbit mahupun gajet lain.

“Sebagai rangka mendekati pendengar setia sempena ulang tahun kesembilan tahun ini, kami juga bakal mengadakan dua festival muzik yang berlangsung pada Februari serta April nanti,” katanya.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB) Seelan Paul serta penyampai Hot FM seperti Fara Fauzana, Ikhwan, Liza, Deen, Tun Nadia, Fizi dan Haziq.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 10:01 AM