Elfira luah isi hatinya. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Elfira luah isi hatinya. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Najiy Jefri


"ALLAH menguji saya dalam banyak perkara hingga menjadikan saya seorang wanita yang kuat dan bersabar untuk segalanya," tulis pelakon Elfira Loy di laman sosial Instagramnya.

Elfira dilihat seakan-akan meluahkan isi hatinya yang kini berdepan ujian hidup hingga menjadikan dirinya semakin kuat.

Elfira berkata, dia percaya masa yang tepat akan tiba dan akan berkongsi segala persoalan yang bermain di fikiran orang ramai.

"Perancangan Allah adalah yang terbaik. Ada banyak perkara yang ingin saya luahkan dalam kapsyen ini, saya menulis dan memadam kapsyen yang panjang supaya dapat menjelaskan segala yang berlaku dalam hidup saya ketika ini. Tapi saya melihat tiada keperluan untuk saya melakukan sedemikian.

"Saya tahu waktu yang tepat akan tiba dan segala jawapan yang anda ingin ketahui akan diumumkan nanti. Saya hanya perlu banyak berdoa," katanya.

Menurut Elfira, tiada siapa mampu mengubah takdir seseorang melainkan Allah SWT dan berharap masyarakat tidak menghukum dirinya.

"Allah sahaja yang boleh mengubah segalanya dan bukan anda. Bagi saya, jika tiada sesuatu yang baik untuk diperkatakan lebih baik diam.

"Perkara ini bukan untuk menyejukkan hati saya sebaliknya menolong anda di akhirat kelak," katanya.

Ahad lalu kecoh di media sosial mengenai berita pertunangan Elfira dengan seorang jejaka bertugas sebagai pengurus besar di sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka di ibu kota.

Menurut laporan portal, Elfira dikatakan selamat mengikat tali pertunangan dengan Muhammad Faris Khairol Anuar kira kira 9 pagi di kediamannya di Alam Damai, Kuala Lumpur.

Harian Metro cuba mendapatkan kenyataan daripada Elfira namun tidak berjaya apabila pelakon itu mematikan telefon bimbitnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 5:16 PM