Aishah selesa berkawan dengan Syafie. FOTO Instagram
Aishah selesa berkawan dengan Syafie. FOTO Instagram
Ramlah Zainal


“SAYA berharap peminat doakanlah yang baik-baik buat kami,” kata pelakon Aishah Azman, 22.

Dia menyatakan perkara itu ketika mengulas gosip cintanya dengan pelakon Syafie Naswip yang heboh diperkatakan ramai ketika ini.

Menurut pelakon dikenali dalam drama Cinta Hati Batu yang bersiaran di TV3 itu, dia dan Syafie sudah berkawan rapat sejak tiga tahun lalu.

“Saya memang selesa berkawan dengannya. Dia memang lelaki yang paling rapat dalam hidup saya ketika ini.

“Saya memang tidak ada ramai kawan dalam kalangan artis.

“Selain abang, pelakon Afiq Muiz, Syafie, rakan artis yang paling dengan saya,” katanya kepada Harian Metro.

Namun, kata Aishah, dia dan Syafie masih dalam fasa berkawan dan mengenali hati budi lagi.

“Saya belum bersedia berkongsi lebih-lebih mengenai hubungan kami buat masa ini.

“Setakat ini, hubungan kami juga direstui keluarga kedua belah pihak,” katanya.

Ditanya perancangan berkahwin pula, kata Aishah, dia mensasarkan usia sebelum usia 28 untuk berumah tangga.

“Saya mahu fokus pada karier seni sebelum berkahwin.

“Maklumlah, usia saya masih muda lagi baru 22 tahun,” katanya.

Terdahulu, hubungan mesra Aishah dan Syafie diperkatakan netizen apabila pasangan itu kerap memuat gambar bersama di laman instagram masing-masing.

Selain meraikan hari jadi Syafie, Aishah juga memuat naik video sambutan hari jadi pelakon itu di laman instagramnya, baru-baru ini.

Terbaru, mereka juga berganding dalam drama Waliuddin 2 Ringgit untuk saluran TV2 tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 2:21 PM