Georgie Joseph


PELAKON Syafie Naswip selamat bertunang dengan kekasihnya juga pelakon, Aishah Azman dalam majlis sederhana yang berlangsung kira-kira jam 9 malam, hari ini.

Syafie, 27, berkata dia tidak mahu menunggu lama untuk mengikat pertunangan sebagai bukti cintanya kepada Aishah, 23.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk melanjutkan hubungan kami ke peringkat lebih serius. Ini masa paling tepat untuk saya berbuat demikian.

“Tak naklah tunggu lama. Nanti kalau sudah tangguh, tak jadi pula nanti atau hilang perasaan untuk melangkah ke fasa perkahwinan,” katanya.

Pelakon Mukhsin itu berkata, mereka akan melangsungkan perkahwinan pada tahun ini namun belum menetapkan sebarang tarikh.

“Kami sudah menetapkan untuk mendirikan rumah tangga tahun ini juga. Bagaimanapun, kami belum ada tarikh yang tetap,” katanya.

Pada majlis bertemakan taman itu, pihak lelaki menyerahkan lima dulang hantaran dan dibalas lima daripada pihak perempuan. Kesemua hantaran berupa manisan.

Aishah turut menerima sebentuk cincin yang disarungkan kepadanya oleh ibu Syafie iaitu Noorsiah Ahmad.

Majlis dihadiri lebih 200 tetamu termasuk ahli keluarga kedua belah pihak serta rakan terdekat.

Ibu Syafie Naswip, Noorsiah Ahmad menyarungkan cincin pertunangan di jari manis Aisyah yang berlangsung di Forest Valley Hall. -Foto ROHANIS SHUKRI.
Ibu Syafie Naswip, Noorsiah Ahmad menyarungkan cincin pertunangan di jari manis Aisyah yang berlangsung di Forest Valley Hall. -Foto ROHANIS SHUKRI.

Turut meraikan saat indah itu adalah rakan artis antaranya Afiq Muiz yang juga abang Aishah, Fimie Don, Aedy Ashraff, Ardell Aryana, Jasmine Suraya Chin, Sweet Qismina, Adam Lee dan Syazuwan Hassan.

Hubungan percintaan Syafie dan Aishah bukan lagi rahsia kerana masing-masing sudah berterus-terang sebelum ini.

Malah, Syafie mahu pun Aishah, sering memuat naik foto mesra bersama di Instagram (IG) dengan kapsyen menarik.

Bahkan, rata-rata pengikut IG pasangan itu memberikan sokongan dan maklum balas positif terhadap hubungan yang dijalin.

Perkenalan awal pasangan kekasih itu bermula di laman sosial, IG pada 2015.

Pertengahan tahun lalu mereka sudah sedia mengumumkan hubungan dijalin kerana semakin serasi dan selesa bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 11:00 PM