MEGAT Shahrizal (belakang enam dari kiri) bersama kru dan pelakon Secangkir Kopi
MEGAT Shahrizal (belakang enam dari kiri) bersama kru dan pelakon Secangkir Kopi
Ridzuan Abdul Rahman

Menonton Black Mirror, sebuah antologi fiksyen dengan siri yang berbeza cerita mencetuskan idea buat pengarah Megat Shahrizal Mohamed Yusoff mengadaptasi dalam karya tempatan.

Megat berkata, pada mulanya dia menerima kiriman e-mel daripada pengurusan tonton memintanya mencari idea untuk siri baru portal perkhidmatan penstriman video tempatan nombor satu tanah air itu.

“Mereka mahu saya adaptasi karya luar negara. Kebetulan saya baru menonton siri Black Mirror dan di sebelah saya ada rak buku.

“Saya meneliti satu per satu buku daripada novel FIXI dan nampak KOPI. Saya ambil dan belek sambil berfikir bagus sekiranya naskhah ini diangkat ke layar kaca,” katanya.

Menurut Megat, pada mulanya idea untuk setiap episod yang diterbitkan Konda Kondi Studios dan Playground Production itu menampilkan namanya sebagai pengarah.

Bagaimanapun, apabila melalui proses perbincangan dengan rakan kongsinya, Tuan Faisal mereka sepakat buka peluang kepada pengarah muda untuk berkarya.

“Kita ada ramai pengarah muda yang tidak berpeluang menonjolkan bakat mereka. Apabila mahu ketengahkan mereka, isu tidak cukup pengalaman dan ‘portfolio’ tak kuat akan dibangkitkan.

“Sebenarnya, ramai berbakat besar kerana mereka pernah jadi pembantu pengarah malah ada juga yang sudah mengarahkan beberapa drama. Jadi, kami buka ruang kepada mereka untuk berkarya,” katanya.

Siri KOPI tampil dengan 13 cerita berbeza yang mengangkat tema kasih sayang, keluarga, impian tidak kesampaian, komuniti serta fantasi. Kepelbagaian itu memerlukan sentuhan pengarah berbeza.

PENGARAH Secangkir Kopi, Faliq Sharif  (berdiri)memberikan tunjuk ajar kepada Zara dan Izzue.
PENGARAH Secangkir Kopi, Faliq Sharif (berdiri)memberikan tunjuk ajar kepada Zara dan Izzue.

“Kami berharap dapat lihat identiti dan keunikan setiap pengarah yang terbabit dengan projek ini. Empat pengarah mendapat kepercayaan untuk menggalas tugasan ini dan mereka boleh memilih cerita mana yang berkenan di hati.

“Sebagai permulaan, saya berbincang dengan mereka dan penulis skrip kerana skripnya bukan dihasilkan penulis asal novel KOPI,” katanya.

Megat mengakui bukan mudah mengadaptasi novel ke skrin berikutan banyak kekangan terpaka ditempuh termasuk logistik, masa, lokasi, cuaca dan sebagainya.

“Kami berbincang bagaimana mahu menghasilkan cerita dalam bentuk filem pendek. Ada perkara perlu dipadatkan dan ada juga yang kena dipanjangkan kerana filem pendek tidak boleh terlalu mengikut novel.

“Silap-silap hanya ambil masa lima minit tayangan sedangkan siri ini akan disiarkan selama 10 minit. Kami banyak buat draf

dan kemudian pengarah akan pilih yang mana sesuai. Saya hanya mengawasi apa yang perlu,” katanya.

Ditanya keistimewaan siri KOPI, Megat berkata, ia seakan-akan gaya hidup masyarakat kita yang obses dengan produk ini.

“Setiap kali bangun pagi, orang kita cari kopi. Selain memaparkan gaya hidup, slot Kopi turut dikembangkan kepada pelbagai cerita merangkumi seram, romantik dan drama.

“Proses penggambaran berlangsung selama dua minggu dan bergantung kepada keadaan cuaca selain pelakon serta kru memberikan komitmen yang baik,” katanya.

KRU produksi berusaha mendapat sudut terbaik.
KRU produksi berusaha mendapat sudut terbaik.

KOPI tampil dengan 13 siri iaitu Kopi 3 Rasa karya Shaz Johar lakonan Budicitawan, Angeline Tan dan Kenji Sawahi, Kopi Kola (Nadia Khan) lakonan Nazrief Nazri dan Julia Farhana Marin, Kopi Percik (Amal Hamsan) lakonan Syafie Naswip, Luwak Dan Keretek (Ridhwan Saidi) lakonan Nad Zainal.

Selain itu turut diketengahkan Venti arahan Redza Minhat lakonan Kodi Rashid, Along Ezendy dan Jasmin Suraya Chin, Kau Kopiku (Dheepan Pranthaman) lakonan Thevanesh Rao, Gadis Hijau (Adib Zaini) lakonan Zahiril Adzim dan Elvina, Kopi Jantan Kaw (Nik Adam Ahmad) lakonan Fahad Iman dan Faisal Hussein serta Tangan Berulat (Fadli Al-akiti) lakonan Tony Eusoff dan Chelsia Ng.

Seterusnya, Kopi Julia (Faizal Sulaiman) lakonan Jasmin Hamid, Hafiz Roshdi dan Hafreez Adam T, Secangkir Kopi (Syaihan Syafi) lakonan Zara Zya dan Izzue Islam, Cinta Kopi (Gina Yap Lai Yoong) lakonan Iedil Putra dan Shakilla Khoriry serta Bersaksi Kopi (Dayang Noor) lakonan Redza Minhat dan Mimi Lana.

“Untuk cerita selama 10 minit, paling banyak ada tiga watak. Namun ada juga hanya satu watak seperti Kopik Percik, lakonan Syafie Naswip.

“Ini konsep baru di negara kita dan saya percaya ia dapat diterima ramai,” katanya yang turut mengarahkan kisah Tangan Berulat.

ZARA dan Izzue digandingkan dalam siri Secangkir Kopi.
ZARA dan Izzue digandingkan dalam siri Secangkir Kopi.

Sementara itu, wakil Pengurusan Kandungan Jenama, tonton, Ellyna Zakaria yang hadir ketika sesi penggambaran episod Secangkir Kopi mengakui tertarik dengan idea Megat Sharizal dan percaya ia mampu menarik perhatian penonton.

“Tiga belas cerita dalam siri ini dipecahkan kepada 25 episod yang satu cerpen mengandungi dua episod.

“Koleksi cerita menarik ini akan disiarkan di tonton setiap hari, jam 12 tengah hari dari 16 September hingga 10 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 1:01 PM