ZARA (kiri) dan Izzue. FOTO Nurul Shafina Jemenon
ZARA (kiri) dan Izzue. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Ridzuan Abdul Rahman

Kemunculan Zara Zya menerusi drama Love You Mr Arrogant bersama Azlee Khairi pada 2013 berjaya mencetuskan fenomena dan menaikkan namanya.

Terbaru, pelakon bernama sebenar Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 33, ini kembali menjadi sebutan apabila membintangi drama Mona Lisa yang baru tamat tayangannya di saluran Astro.

Menilai kepada populariti semasa yang dikecapinya sekarang, Zara disambar pula untuk membintangi drama Secangkir Kopi yang menggandingkannya dengan Izzue Islam.

Drama arahan Faliq Sharif yang bakal menemui peminat menerusi slot tonton Original Series: Kopi pada September nanti menampilkan isu panas skandal pasangan yang masing-masing sudah berkahwin.

Tentunya ia bukan perkara yang diinginkan dalam sesebuah perkahwinan tetapi ini realiti yang sering terjadi dalam masyarakat.

Ditemui di lokasi penggambaran, kedua-dua pelakon hebat ini ternyata teruja dengan watak yang diberikan.

Biarpun masih solo, Zara jelas tidak mahu berkrompomi terhadap perkara yang menyalahi norma kemanusiaan ini.

“Ini berkaitan skandal yang berlaku di pejabat membabitkan pasangan yang sudah berkahwin. Ia satu perkara yang tak sihat dan kalau boleh perlu dielakkan setiap pasangan berkahwin. Kami hanya melakonkan watak bagi memberi pengajaran kepada masyarakat,” katanya.

Menurut Zara, mereka memikul tanggungjawab besar melakonkan watak yang diberikan.

“Saya tertarik membintangi Secangkir Kopi kerana ceritanya padat. Skripnya menarik dan boleh memikat penonton biarpun hanya ditayangkan selama 10 minit.

“Ini watak skandal pertama yang saya buat. Penyampaian ceritanya pun secara langsung tanpa belok-belok dan penamatnya nanti memberikan satu teladan buat kita.

“Kami tak perlu tukar dialognya dan hanya buat apa yang disuruh,” katanya.

Menilai kepada profilnya, lakonan untuk drama bersiri seakan-akan menjadi makanan buat Zara meraih populariti seperti yang dibuktikannya menerusi drama Love You Mr Arrogant dan Mona Lisa.

Dia bagaimanapun tidak mendabik dada kerana menganggap itu rezekinya.

“Saya beruntung kerana sering mendapat naskhah, pengarah, kru dan barisan pelakon terbaik yang menjadi penyumbang kejayaan sesebuah drama.

“Saya sebenarnya tak pernah pilih watak. Kalau diikutkan Mona Lisa adalah percubaan pertama saya berlakon drama siri yang panjang.

“Sebelum ini saya tolak tawaran begini kerana takut nak terbabit dalam komitmen yang agak lama. Bagi saya shooting selama tiga bulan pun sudah panjang, apatah lagi untuk Mona Lisa yang memakan masa lapan bulan,” katanya.

Zara berkata, dia kini seronok berlakon drama episod yang panjang kerana banyak kebaikannya, antaranya pendapatan yang stabil setiap bulan.

“Saya tak perlu pening kepala fikir tawaran berlakon dan komitmen lain. Tapi untuk sementara waktu, saya nak berehat sekejap daripada buat drama bersiri dan pilih hanya drama biasa.

Cuba komedi

Zara juga kembali terbabit dalam program Jihan Show musim kedua. Selain itu, dia turut mencuba menyerlahkan bakat komedi dalam dirinya apabila menyertai Super Spontan yang akan bermula Jumaat depan.

“Ini sesuatu yang baru buat saya. Saya ditawarkan oleh produksi dan ambil ini sebagai satu cabaran.

“Insya-Allah saya akan tampilkan yang terbaik. Saya tak kisah kena kecam atau apa saja kerana rasanya ramai peminat menanti saya dalam Jihan Show dan Super Spontan,” katanya yang baru tampil dengan single Tiada Dendam.

ZARA (kiri) dan Izzue. FOTO Nurul Shafina Jemenon
ZARA (kiri) dan Izzue. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Izzue setia kasih terhadap isteri

Lima tahun bergelar suami kepada Awin Nurin sudah cukup membahagiakan Izzue Islam dan tiada sebab untuknya berlaku curang terhadap isterinya.

“Cerita ini timbulkan kesedaran kepada saya dan semua dalam kalangan masyarakat. Ada pasangan suami isteri yang nampak bahagia tapi di sebaliknya mempunyai skandal gelap. Paling menyedihkan skandal kepada pasangannya pula adalah kawan sendiri juga.

“Penamat cerita ini menampilkan kesedaran buat semua supaya menjauhi apa yang dilarang agama,” katanya.

Izzue secara jujur mengakui sering berdepan dugaan yang bertujuan menggugat kasih sayangnya terhadap Awin.

“Perkara ini memang selalu ada tapi saya ada kekuatan untuk mengatasinya. Bahkan bukan saya saja, Awin pun pernah juga diuji apabila ada orang cuba menggodanya.

“Kita kena sentiasa jujur dan ada kepercayaan terhadap pasangan masing-masing. Saya kenal isteri sudah 10 tahun dan kini sudah lima tahun bergelar suaminya.

“Walaupun cukup mengenalinya, saya anggap setiap hari adalah hari baru buat kami,” katanya.

Izzue berkata, dia boleh berdikari menguruskan dirinya sendiri sekiranya Awin mempunyai urusan lain, tetapi dia lebih seronok jika Awin dapat menemaninya di lokasi penggambaran.

“Saya tak kisah jika Awin hanya duduk dalam kereta asalkan dia berada dekat dengan saya. Jika dia jauh, saya pula bimbang apa-apa terjadi kepadanya,” katanya.

Bintangi teater

Berkongsi aktiviti terkini, Izzue dalam persiapan untuk menjayakan teater Tanah Akhirku yang akan dipentaskan di Istana Budaya, bulan depan.

“Kali terakhir saya berlakon teater menerusi Bahara Emas, tahun lalu. Saya kena berlakon sekurang-kurangnya satu teater setiap tahun kerana mahu memperbaiki kualiti lakonan.

“Banyak ilmu yang boleh ditimba menerusi teater. Drama lakonan saya iaitu Jangan Benci Cintaku kini sedang ditayangkan menerusi slot Akasia TV3.

“Saya juga baru selesai berlakon telefilem Kau Langit Aku Laut. Perasaan saya sekarang berdebar-debar kerana akan terbabit dalam Super Spontan bermula Jumaat depan. Sebelum ini saya hanya jadi artis undangan program itu,” katanya.

Dalam pada itu, Izzue turut aktif mempromosi single solonya berjudul Terimalah Kasihku yang dilancarkan sebelum Aidilfitri lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 8:55 AM