SYAFIQ Kyle. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
SYAFIQ Kyle. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Rudy Imran Shamsudin


PELAKON Syafiq Kyle mengakui bersikap agak skeptikal pada peringkat awal apabila mengetahui syarikat produksi Radious One dan TV3 mahu menyambung drama bersiri Nur selepas menjadi fenomena sepanjang tayangannya, Ramadan lalu.

Malah, Syafiq juga antara pelakon utama drama rantaian itu yang lewat memberikan persetujuan untuk menyertai tenaga kerja produksi bagi membolehkan penggambaran Nur 2 dilaksanakan.

Katanya, perasaan skeptikal itu timbul selepas mendengar pelbagai pandangan diberikan penggiat seni mahupun peminatnya.

“Sebaik khabar mengatakan Nur 2 mahu dibuat, ramai memberikan pendapat dengan mengatakan banyak drama popular yang disambung kurang mendapat sambutan.

“Saya sendiri berasakan kejayaan Nur, seharusnya menjadi penanda aras. Saya terharu apabila Nur yang saya bintangi mendapat sambutan dan beranggapan biarlah ia menjadi karya agung, sepanjang kerjaya saya sebagai pelakon dan dikenang sampai bila-bila,” katanya.

Begitupun perbincangan dibuat bersama semua tenaga kerja terutama pengarah drama Nur, Shahrulezad Mohameddin membuatkan Syafiq mengubah fikiran dan bersetuju untuk kembali menjayakan penggambaran Nur 2.

“Seperkara yang dinyatakan oleh Shahrulezad di awal pembikinan Nur, dia tidak pernah menaruh apa-apa harapan, apatah lagi mengharapkan ia muncul drama popular dan menjadi fenomena.

“Dia menghasilkan drama itu atas keikhlasannya untuk memberikan yang terbaik kepada penonton dan peminat drama tempatan. Dan seharusnya begitu juga niat yang harus ditanam semua warga kerja drama Nur 2, apabila kami kembali ke lokasi,” katanya.

Syafiq yang memegang watak Ustaz Adam dalam Nur berkata, dia bersemangat untuk kembali menjayakan Nur 2 berikutan penerbit dan pengarah Nur sentiasa bersikap terbuka serta menerima pandangan diberikan.

“Saya tidak nafikan berasa teruja dan seronok dapat bekerja dengan semua tenaga kerja Nur, dan sekurang-kurangnya dengan pembikinan Nur 2, ia menjadi alasan untuk kami berkumpul dan berkarya bersama-sama sekali lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 8:40 PM