Aiman rapat dengan arwah nenek. FOTO fail HM
Aiman rapat dengan arwah nenek. FOTO fail HM
Ardini Sophia Sina


PENYANYI Aiman Tino mengakui sambutan Aidilfitri tahun ini kurang lengkap selepas kematian neneknya, Saliah Husin tahun lalu.

Aiman berkata, dia antara cucu yang rapat dan manja dengan neneknya. Malah, arwah antara individu yang sering memberikan sokongan kepada cucunya.

“Tahun ini kali pertama kami sekeluarga menyambut Aidilfitri tanpa nenek. Memang ada rasa kekurangan dan perbezaannya.

“Saya antara cucu yang rapat dan manja dengan arwah. Hanya kenangan bersama arwah yang saya dapat ingat untuk pengubat rindu,” katanya.

Bagaimanapun, Aiman lega kerana arwah sempat menyambut Aidilfitri tahun lalu bersama semua lapan orang anaknya serta cucu.

“Tahun lalu adalah Aidilfitri paling bermakna kerana semua anak dan cucu sempat menggembirakan hatinya sebelum arwah menghadap Ilahi.

“Terlalu banyak kenangan saya bersama arwah. Saya pernah tidur dengan arwah pada malam raya dan sama-sama menyediakan juadah bersamanya,” katanya.

Menurut Aiman, walaupun neneknya sudah tiada, mereka sekeluarga tetap meriahkan rumah peninggalannya pada pagi raya.

Saliah meninggal dunia pada usia 75 tahun disebabkan penyakit kanser hati. Arwah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Kubu Bharu, Selangor pada 5 Julai tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Jun 2018 @ 3:11 PM