SANDRA Bullock.
SANDRA Bullock.
Ardini Sophia Sina

Peminat filem Hollywood pastinya mengenali aktres ternama Sandra Bullock.

Walaupun sudah berusia 53 tahun, dia masih punya aura dan karisma yang mampu menawan hati penonton.

Kejelitaannya tidak hanya terpancar pada luaran tetapi dia juga punya hati nurani yang ‘cantik’.

Mempunyai dua anak angkat iaitu Louis, 8, dan Laila, 5, Sandra tidak pernah menggunakan istilah anak angkat untuk dua kanak-kanak berkenaan.

Terbabit dengan kerja amal berkaitan pengambilan anak angkat, Sandra tidak dapat menyembunyikan perasaannya apabila ditanya mengenai aktiviti kemanusiaan yang dilakukannya.

Sandra memohon orang ramai tidak mempertikaikan sama ada aktiviti kemanusiaan yang diusahakannya itu mampu mengubah sistem pengambilan anak angkat di Amerika Syarikat (AS) atau hanya sekadar tin kosong.

“Jangan cakap projek yang saya lakukan ini tidak bawa sebarang perubahan sehinggalah anda sendiri menjaga dan menjadikan anak yatim atau mangsa dera sebagai anak.

“Saya mohon kepada mereka yang mempunyai anak angkat, jangan bandingkan mereka dengan anak kandung. Sebut saja ‘anak kami’ dan bukannya ‘anak angkat kami’,” katanya.

Pelakon filem Ocean’s 8 itu berkata, dia mungkin dilihat sebagai seorang pelakon yang cekal.

Bagaimanapun, anaknya, Laila banyak mengajar dia erti sebenar kehidupan.

“Laila kanak-kanak yang sangat berani. Dia seorang pejuang dan kerana itulah dia ada di sini. Kehadirannya banyak memberikan perubahan dalam hidup kami sekeluarga.

“Louis pula sangat sensitif. Dia bijak dan baik hati. Sebaik saja saya mendukung mereka, saya dapat merasakan ia sebuah rahmat,” katanya.

Selain hal keluarga, Sandra turut berkongsi cerita ketika dia masih bergelar mahasiswa.

Katanya, dia menganjurkan pertandingan ‘Drag Queen’ sebagai sumber pendapatannya ketika menuntut di universiti.

Seperti pelajar lain, dia juga perlu membayar yuran pengajian, sewa rumah, makan minum serta perbelanjaan lain. Sandra mencari cara kreatif bagi mendapat wang untuk menyara hidupnya.

“Saya pernah melakukan perkara pelik termasuk menganjurkan ‘Drag Queen’ dan pemenang ditentukan menerusi tarian mereka. Saya terkejut kerana ramai pelajar menyertai aktiviti ini,” katanya.

Sandra bakal muncul dengan filem baru berjudul Ocean’s 8 ditayangkan pada 7 Jun ini.

Filem itu mengisahkan lapan wanita ingin bercuti di New York, namun berhadapan dengan masalah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 4:45 AM