ATLET Sepanyol, Sandra Sanchez Jaime menang pingat emas acara karate kategori kata di Tokyo 2020, hari ini. FOTO AFP
ATLET Sepanyol, Sandra Sanchez Jaime menang pingat emas acara karate kategori kata di Tokyo 2020, hari ini. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Atlet Sepanyol, Sandra Sanchez Jaime menang pingat emas pertama acara karate di Sukan Olimpik, hari ini, sekali gus menjadi penyumbang tertua negara itu pada usia 39 tahun dan 323 hari.

Sandra memastikan namanya dicatatkan dalam buku rekod sukan itu dengan menewaskan atlet Jepun, Kiyou Shimizu di final karate kata wanita di Olimpik Tokyo 2020, hari ini.

Karate kali pertama dipertandingkan di Sukan Olimpik kali ini selepas usaha melobi dilakukan selama lebih sedekad oleh pihak berkuasa sukan itu.

Bagaimanapun, hayat karate di temasya Olimpik tidak bertahan lama apabila tidak disenaraikan di Olimpik Paris 2024.

Sandra, 39, mencipta kemenangan bersejarah itu dengan mata lebih tinggi berbanding peserta pilihan tempatan yang juga juara dunia dua kali, Shimizu.

Sandra yang juga juara dunia 2018, mengangkat tangan ke udara apabila ketua hakim berdiri di antara dua finalis itu yang kemudian mengangkat tangannya.

"Memang gila, saya sangat emosi. Perasaan saya bercampur baur, saya sangat gembira, tetapi mahu menangis," kata Sandra.

"Saya fikir perlu percaya bahawa inilah kenyataannya. Saya mahu mahu melihat kata saya dan memastikan ia menjadi kenyataan kerana masih tidak percaya."

Atlet tertua pernah menjadi Olimpian buat Sepanyol adalah Joan Llaneras yang menang berbasikal trek emas pada 2008 ketika berusia 39 tahun dan 91 hari.

Acara karate dipertandingkan di Nippon Budokan yang turut menganjurkan judo di Olimpik Tokyo 1964 dan dua tahun kemudian menjadi lokasi persembahan kumpulan The Beatles ketika mengadakan siri jelajah ke Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 10:46 PM