Dua Lipa pada persembahannya di KL Live, Life Centre. FOTO Georgie Joseph
Dua Lipa pada persembahannya di KL Live, Life Centre. FOTO Georgie Joseph
Georgie Joseph


PENYANYI dari Britain, Dua Lipa terharu dengan sokongan luar biasa daripada peminat Malaysia pada konsertnya yang berlangsung semalam di KL Live, Life Centre, di sini.

Dua, 22, berkata perasaan terhadap sambutan itu jelas dirasai selain seronok dengan pengalamannya sempat bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur sebelum konsertnya.

“Kamu tidak tahu betapa bertuahnya saya rasa dapat kembali ke sini jauh dari tempat asal saya. Saya seronok melihat kamu menyanyi dan menari bersama saya.

“Saya sangat bersyukur dapat berada di sini bersama kamu semua,” katanya pada konsert yang dihadiri lebih 2,500 penonton itu.

Berkunjung kali kedua ke sini, Dua berjaya mengagumkan peminatnya dengan vokal memukau serta kelincahan di pentas.

Dia menyanyikan lebih 15 lagu popularnya termasuklah Scared To Be Lonely, Blow Your Mind, IDGAF, New Rules, Thinking ‘Bout You, New Love, Homesick, Last Dance and Genesis.

Terdahulu, Dua memuat naik fotonya bersiar-siar di sekitar kotaraya di Instagram dan ternyata menggunakan sepenuh masanya pada kunjungan kali ini.

Dua sempat melawat beberapa tempat menarik termasuklah kuil Batu Caves, Jalan Alor dan melawat sebuah lukisan mural wajahnya di stesen LRT Datuk Keramat.

Tahun lalu, Dua berkunjung pertama kali ke sini untuk membuat persembahan di festival muzik Good Vibes 2017 yang berlangsung di Genting Highlands, Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 6:46 PM