KANAK-KANAK teruja berendam di dalam kolam dekat taman rekreasi KLCC.
KANAK-KANAK teruja berendam di dalam kolam dekat taman rekreasi KLCC.
HM Digital

Kuala Lumpur: Biarpun cuaca panas, kebanyakan ibu bapa tidak melepaskan peluang membawa anak mereka berkunjung ke kolam berdekatan taman rekreasi Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) sempena cuti umum perayaan Deepavali yang serentak dengan cuti persekolahan, di sini, semalam.

Tinjauan Harian Metro di sekitar lokasi itu mendapati kebanyakan pengunjung ialah ibu bapa dan pelancong asing yang membawa anak bersiar-siar serta beriadah di samping mengambil peluang mandi-manda di kolam berkenaan.

Pengunjung, Fatin Farahin Azzhar, 26, berkata, pada musim cuti umum yang selari dengan cuti persekolahan ini, dia mengambil peluang membawa anak mandi-manda di taman rekreasi KLCC.

“Sudah dua kali saya membawa anak mandi-manda di sini memandangkan lokasi ini selalunya menjadi tumpuan orang ramai terutama menjelang hari minggu menyebabkan saya tidak mahu bersesak.

“Bagaimanapun, demi meluangkan masa bersama anak, saya fikir apa salahnya berkunjung di sini pada cuti umum, malah ia berdekatan dengan rumah,” katanya ketika ditemui semalam.

Bagi pekerja swasta, Don Tan Wen How, 43, dia dan isterinya membawa anak mereka mandi-manda di lokasi itu kerana tertarik dengan keindahan serta kemudahan disediakan pihak pengurusan.

“Sejak 10 tahun lalu, taman rekreasi ini menjadi destinasi wajib membawa keluarga bersiar-siar walaupun agak jauh dari rumah disebabkan tertarik dengan kemudahan seperti taman rekreasi dan pusat beli-belah.

“Biarpun cuaca sedikit panas hari ini (semalam), tapi yang penting anak gembira dapat bermain air,” katanya yang menetap di Subang Jaya.

Seorang lagi pengunjung, Syahril Haron, 36, berkata, dia dan keluarga tidak melepaskan peluang membawa anaknya mandi di kolam itu setiap kali cuti umum.

“Disebabkan sibuk dengan kerja, saya jarang ada peluang bersama keluarga dan sempena cuti umum ini, saya mengambil peluang membawa mereka keluar di samping dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Anak-anak saya suka bermain air dan tempat ini menjadi pilihan kami sekeluarga memandangkan lokasinya selamat untuk kanak-kanak dengan adanya pengawasan pengawal keselamatan yang menjaga kawasan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 6:17 AM