AYU Damit lali ejekan masyarakat sekeliling. FOTO: Rosela Ismail
AYU Damit lali ejekan masyarakat sekeliling. FOTO: Rosela Ismail
Najiy Jefri


PADA awal pembabitannya dalam industri seni tempatan, penyanyi Ayu Damit sudah lali dengan setiap cemuhan yang dilemparkan mengenai paras rupanya.

Meskipun pedih untuk menerima ejekan orang mengatakan dirinya tidak cantik dan berkulit gelap, pelantun lagu Hanya Di Mercu itu sentiasa positif supaya cemuhan dan kritikan diberikan tidak meninggalkan kesan mendalam.

Kata Ayu, setiap individu mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri yang boleh dibanggakan.

“Tipulah kalau saya tak pernah terasa dengan pihak yang menyamakan saya dengan pelbagai perumpamaan.

“Sejak menyertai pertandingan One In A Million dulu, saya sudah lali dan terbiasa dengan ejekan orang. Tambahan pula sekarang ini zaman media sosial. Terang-terangan warganet suka mengutuk dan mencaci orang,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, setiap apa yang dilemparkan kepadanya, dia mengambil perkara itu sebagai pembakar semangat dan teguran untuknya sentiasa memperbaiki diri.

“Setiap teguran ini saya tukar dan cuba ubah untuk jadi lebih baik sebab saya akui penampilan adalah perkara yang penting untuk menjadi selebriti,” katanya.

Enggan mengambil pusing terhadap setiap cemuhan yang diberikan, Ayu bagaimanapun bersyukur apabila suami tercinta, Syed Fauzi Syed Baharuddin adalah tulang belakang dan penyokong kuatnya.

“Suami selalu memberikan padanan dan berkongsi gambar fesyen terkini kepada saya. Mungkin dia sendiri sedar isterinya tidak berapa cantik, jadi dia nak saya ubah diri.

“Tapi alhamdulillah cantik atau tidak, kami masih bahagia. Saya gembira dengan kehidupan sekarang,” katanya ketika ditemui pada pertandingan akhir Look of Plus Size 2019 (LOPS2019) yang berlangsung di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ayu yang tampil sebagai penyanyi undangan menyokong dengan penganjuran pertandingan realiti itu yang memperkasakan wanita bersaiz XL dalam mengekspresikan diri sekali gus berdiri setara dengan wanita lain.

“Bagi saya, cantik itu subjektif dan tidak melihat wanita bersaiz besar tidak boleh melakukan apa yang mereka mahu seperti individu lain.

“Saya menyokong penuh penganjuran pertandingan ini kerana kalau di peringkat antarabangsa, ada ramai wanita bersaiz XL yang bersinar dan berjaya.

“Begitu juga dengan industri hiburan tanah air. Saya rasa isu diskriminasi fizikal sudah tidak lagi relevan memandangkan masing-masing ada kelebihan sendiri,” katanya.

LOPS 2019 menyaksikan kemenangan Syamim Arshad sebagai juara manakala tempat kedua disandang Siti Naila Sekandar dan Nur Hafizah Abdul Latiff pula di tempat ketiga.

Apa yang menarik, semua enam finalis bertanding berpeluang menggayakan persalinan pereka Azhar Zainal di bas Hop On Hop Off baru-baru ini.

Menerusi pertandingan itu juga, pemerkasaan wanita berjaya dicetuskan apabila ada dalam kalangan finalis pernah menjadi mangsa buli dan keganasan rumah tangga.

Selain Ayu, LOPS2019 turut menyaksikan kehadiran penyanyi Azharina dan Mafarika pada acara final itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 5:30 AM