AYU Damit  tak kongsi kerja kebajikan di media sosial, sibuk jual kek pisang
AYU Damit tak kongsi kerja kebajikan di media sosial, sibuk jual kek pisang
Sudirman Mohd Tahir


MINAT mendalam terhadap bidang perniagaan menjadikan penyanyi Ayu Damit bukan saja berjaya dalam tanaman cili diusahakan dan pembukaan kedai makan, tapi juga jualan makanan yang baru diusahakan.

Terbaharu Ayu menjual kek pisang di mana ia sesuatu yang tidak pernah dirancang.

Menurut Ayu, 32, atau nama sebenarnya, Norayu Damit, perkara itu tercetus apabila suaminya, Syed Fauzi Syed Baharuddin teringin makan kek pisang hasil air tangannya sendiri.

"Pada awalnya, suami yang teringin nak makan kek pisang. Jadi saya fikir mengapa tak buat buat sendiri dan mula cari cara penyediaannya menerusi Google dan YouTube.

"Saya cuba buat dan kebetulan ada rakannya datang rumah. Kemudian saya pelawa mereka untuk sama-sama rasa. Dari situ mereka memberi cadangkan untuk saya jual sebab katanya sedap. Keesokannya harinya, saya cuba buat lagi untuk tambah baik resipi," katanya.

Ayu yang baru muncul dengan single Permata berkata, maklum balas positif yang diterima secara tak langsung membuatkan dirinya lebih bersemangat untuk menjadikan pembuatan kek pisang sebagai perniagaan baharu.

Menariknya, bisnes yang dimulakan sejak sebulan lalu itu sudah terjual hampir 200 biji.

"Saya jual sebiji RM25 dengan anggaran berat satu kilogram. Saya mula bisnes ini lebih sebulan lalu dan sehingga kini, ia sudah terjual hampir 200 biji kek.

"Paling banyak saya boleh buat dalam 20 biji sehari, bergantung kepada berapa orang yang tempah. Setakat ini semuanya berjalan dengan baik, cuma saya berehat beberapa hari sebelum ini kerana kematian bapa.

"Boleh dikatakan ini bisnes baru, apatah lagi dengan situasi semasa pun aktiviti seni agak terbatas. Jadi mengapa tidak untuk saya usaha dengan ikhtiar ini untuk tambah rezeki," katanya.

Berkongsi lanjut, Ayu berkata itu adalah bisnes kelima yang diusahakan dari rumah selain masih memberi fokus kepada kerjaya nyanyian.

AYU kini jual kek pisang.
AYU kini jual kek pisang.

"Kalau nak diikutkan, ini bisnes kelima yang saya usahakan dari rumah selepas cili jeruk, bahulu, rojak dan kerepek pisang.

"Tapi setiap menu yang saya buat tidaklah untuk buat bisnes atau apa. Sebab saya lebih suka cuba dan kongsikan air tangan dengan kawan-kawan terlebih dulu. Saya tanya pandangan mereka dan sebagainya sebab saya faham, cita rasa orang berbeza-beza.

"Kemudian, barulah saya fikir untuk buat langkah seterusnya. Mudah-mudahkan bisnes ini berpanjanganlah, insya-Allah," katanya.

Ditanya sama ada dia turut terbabit dalam membantu golongan memerlukan sepanjang fasa pandemik, Ayu lebih selesa untuk tidak terlalu bercerita.

"Saya dan suami memilih untuk tidak berkongsi mengenai perkara ini. Adalah bantu tapi biarlah kami sahaja yang tahu. Bagi saya, bukan semua kita perlu kongsikan di media sosial. Sebab bimbang kalau kongsi berlebih-lebih, nanti disalah erti. Jadi lebih baik buat secara senyap saja.

"Ada yang hantar mesej secara peribadi di media sosial dan ada yang kita terus bantu kalau nampak di depan mata. Malah ada juga yang tanya sama ada saya boleh boleh beli barang atau produk yang mereka jual. Jadi saya sokong dengan cara membelinya.

"Sekurang-kurangnya saya cuba beri semangat pada pada mereka yang ikhtiar kembangkan kemahiran melalui berniaga misalnya demi kelangsungan hidup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 6:44 AM