ERNIE membuat persembahan pada majlis Pelancaran Single Baru. FOTO Aswadi Alias
ERNIE membuat persembahan pada majlis Pelancaran Single Baru. FOTO Aswadi Alias
Syafil Syazwan Jefri


Walaupun video lirik single baru berjudul Misteri yang dimuat naik pada 27 Mac lalu mencecah lebih 100,000 tontonan, penyanyinya, Ernie Zakri tidak menyesal memadamnya memandangkan kualiti audio yang kurang memuaskan.

"Saya memuat naik video lirik itu pada 27 Mac lalu, namun kerana audionya kurang memuaskan mungkin kerana masalah teknikal, saya padam dan muat naik semula pada 29 Mac lalu.

"Walaupun saya kehilangan lebih 100,000 tontonan, tidak mengapa kerana saya tak mahu penonton menonton video lirik dengan audio yang tidak berkualiti," katanya kepada Harian Metro.

Katanya lagi, dia mahu video itu bertahan lama dan akan ditonton walaupun selepas beberapa tahun.

"Saya tak mahu ia bertahan untuk tempoh singkat. Jadi, walaupun ia sekadar video lirik biarlah ia berkualiti kerana akan ditonton lagi beberapa tahun akan datang.

"Saya tak mahu nanti kalau saya dah ada anak, mereka akan tanya kenapa kualiti lagu saya seperti itu," katanya.

Menurut penyanyi itu lagi, dia juga berbincang dengan pihak pengurusan labelnya, FMC Music.

"Pengurusan saya juga berkata tidak ada masalah dan mereka setuju untuk saya memuat naik semula video itu dengan kualiti yang lebih baik," katanya.

Sehingga kini, video lirik lagu ciptaan Gouffran dan Sang Hitam yang dimuat naik semula itu ditonton lebih 35,000 penonton di YouTube.

Ernie ditemui di majlis ramah mesra bersama kelab peminatnya yang digelar Ernie Nators.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 10:37 PM