ERNI buat rakaman semula untuk pastikan kesempurnaan single berkenaan.
ERNI buat rakaman semula untuk pastikan kesempurnaan single berkenaan.
HM Digital

Selepas lebih setahun dirakamkan, akhirnya, single berjudul Misteri nyanyian penyanyi Ernie Zakri dilancarkan dan mula meraih perhatian ramai.

Rakaman asalnya masih banyak kekurangan dan kerana itulah, Ernie berbincang dengan pihak pengurusan serta dua komposernya, Gouffran dan Sang Hitam untuk merakamkan semula pada Januari lalu.

Menurut Ernie, kekurangan rakaman asalnya itu membuatkannya tidak senang hati.

“Saya mahukan sesuatu yang berkualiti dan walaupun saya tahu, rakaman pertama itu akan ‘burn’ begitu saja, saya tetap teruskan untuk merakam semula pada Januari lalu,” katanya.

Dari sudut melodi, sesuai dengan judulnya, lagu ini ada aura misterinya. Bermula dari bahagian verse sehinggalah korus, semuanya ada elemen dramatik yang kuat.

Bukan satu lagu yang ringan, Misteri nyata satu lagu besar untuk penyanyi bertubuh kecil ini, namun, siapa saja yang mampu menafikan kemampuan vokal Ernie?

Banyak bahagian yang mencabar terutamanya bahagian korus, namun, berjaya dilantunkan setiap bait kata dengan jelas.

“Korus menjadi ‘hook’ yang berjaya menarik perhatian saya kepada lagu ini,” katanya.

Dari sudut jalan cerita, ia agak subjektif dan sukar ditafsirkan kepada satu kisah saja. Bagi Ernie, dia membayangkan kehidupan wanita yang berjuang menjalani kehidupan walaupun dipandang negatif oleh orang luar.

“Saya membayangkan jalan ceritanya mengenai wanita yang bekerja sebagai pelacur. Dia terpaksa melakukan kerja itu untuk menampung kehidupannya dan beberapa anak.

“Dari sudut lain, ia mungkin juga berkisar mengenai kehidupan setiap manusia yang berbeza-beza dan punya sebab dan alasan tersendiri dalam melakukan sesuatu,” katanya.

Video lirik Misteri yang sebelum ini dimuat naik pada 27 Mac lalu mencecah jumlah tontonan sehingga lebih 100,000 namun terpaksa ditarik balik kerana kualiti audio pada video yang kurang memuaskan.

Ia dimuat naik semula pada 29 Mac lalu dan kini, jumlah tontonannya mencecah lebih 100,000.

INFO:

Lagu: Misteri

Penyanyi: Ernie Zakri

Komposer: Gouffran & Sang Hitam

Lirik: Gouffran & Sang Hitam

Label & edaran: FMC Music Sdn Bhd

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 9:56 AM