RAJA Besar Maha Gading bersama dua Peran.
RAJA Besar Maha Gading bersama dua Peran.
Ridzuan Abdul Rahman

[email protected].

Mungkin tidak ramai tahu seni makyung yang juga sebuah teater tradisional Melayu sudah diwartakan sebagai Warisan Bukan Ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2005.

Persembahan makyung juga sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat dan kini sering menjadi persembahan komersial di institut pengajian tinggi mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Oleh itu, tahun ini Dewan Budaya dan Pusat Pengajian Seni Universiti Sains Malaysia (USM)

dengan kerjasama Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri (JKKN) Pulau Pinang dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA), USM sekali lagi akan mementaskan Teater Tradisional Makyung, Raja Besar Maha Gading di Auditorium Dewan Budaya, USM, Pulau Pinang bernula jam 8.30 malam ini dan esok.

Seri Makyung USM sekali lagi menampilkan Rosnan Rahman, seniman yang tidak asing lagi dengan imej Pakyung Negara yang kini bekerja di Istana Budaya. Kuala Lumpur.

Persembahan ini turut menampilkan Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA) USM Profesor Datuk Dr Adnan Hussein sebagai Pendita Budiman dalam babak khas pada Malam Persembahan Perdana, esok.

Makyung Raja Besar Maha Gading diarahkan Che Mat Jusoh, seorang pengarah lakonan dan penggiat muzik tradisional yang tidak asing lagi di tanah air.

ROSNAN tampil sebagai Raja Besar Maha Gading.
ROSNAN tampil sebagai Raja Besar Maha Gading.

Dia akan dibantu Nur Liyana Che Mohamed, aktivis teater tradisional yang semakin bergiat aktif dalam bidang ini.

Manakala, pelakon yang terbabit ialah aktivis teater berbakat seperti Nadhilah Suhaimi sebagai Raja Bongsu, Ramnah Ramli (Bonda Permaisuri), Nik Norimani Mat Hassan (Putera Sulong) dan Norhelmi Othman (Terus Bodo).

Pemuzik iringan pula membariskan artis budaya dari Dewan Budaya dan dibantu oleh pemuzik jemputan, Mohd Farid Kamaruzaman.

Raja Besar Maha Gading mengisahkan mengenai seorang Raja yang mempunyai tujuh putera. Pergolakan timbul dalam kalangan putera raja ini apabila Raja melantik putera bongsunya menjadi Raja Muda yang seterusnya bakal menduduki takhta baginda.

Akibat rasa dengki dan iri hati, Putera Sulung bersubahat dengan putera lain untuk membunuh putera bongsu dengan menangkap dan mencampaknya ke dalam telaga semasa membawanya keluar bermain.

Sebarang pertanyaan dan tempahan tiket boleh dibuat di Facebook Dewan Budaya atau Seri Makyung USM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 5:27 AM