Zahrin (kanan) kecewa dengan dakwaan Ahmad Idham. FOTO ROHANIS SHUKRI/ADIBAH AHMAD IZAM
Zahrin (kanan) kecewa dengan dakwaan Ahmad Idham. FOTO ROHANIS SHUKRI/ADIBAH AHMAD IZAM
Norhayati Nordin


PENGERUSI Skim Wajib Tayang, Zahrin Aris menyangkal dua dakwaan dibuat pengarah dan penerbit, Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang mempertikaikan kredibiliti pihaknya.

Zahrin ditemui pada sidang media di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Klang, Ampang, hari ini berkata ia kenyataan yang kurang tepat.

"Justeru, saya dinasihat supaya membuat pencerahan mengenai isu dibangkitkan itu kerana tidak mahu wujud kekeliruan berterusan.

"Sebenarnya, isu undi didakwa itu bukanlah lima tetapi satu saja yang mana keputusan dibuat merujuk pada kata putus jawatankuasa Skim Wajib Tayang.

"Ingin dijelaskan dalam jawatankuasa Skim Wajib Tayang, diterajui saya sebagai pengerusi, diikuti Ketua Pengarah FINAS, Pengarah Ketua Perbadanan Bahagian Perlesenan, wakil Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia (KKMM), wakil Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dan wakil pempamer," katanya.

Zahrin turut kecewa dengan dakwaan dilempar Ahmad Idham mengenai sikap 'endah tak endah' ahli jawatankuasa Skim Wajib Tayang seolah-olah menindas penerbit kecil.

"Sebelum keputusan dibuat bagi tentukan tarikh dan jumlah pawagam diperoleh penerbit untuk tayangan, ahli jawatankuasa Skim Wajib Tayang akan membuat pratonton dan kemudiannya, mesyuarat untuk putuskan keputusan.

"Apa yang Skim Wajib Tayang buat kami ada peraturan ditetapkan dan saya tidak boleh langgar. Setakat ini, semua saya ikut," katanya.

Zahrin juga memberitahu akan ada pindaan dibuat untuk Skim Wajib Tayang tidak lama lagi.

Ia digubal semula bagi penambah baikkan dalam usaha memartabatkan industri perfileman tanah air.

Apapun, sebanyak 80 filem ditayangkan sepanjang tahun 2015 dan pendapatan diperoleh sebanyak RM52 juta.

Bagi 2016 pula, sebanyak 40 filem ditayangkan dan pendapatan diperoleh ialah RM80.4 juta manakala 2017 sebanyak 59 filem dengan jumlah pendapatan diperoleh, RM55 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 8:10 PM