ROSNAN Rahman.
ROSNAN Rahman.
Ridzuan Abdul Rahman

Gelaran pakyong negara bukan tiket untuk Rosnan Rahman mendabik dada hanya memegang watak utama di pentas teater tradisional makyung.

Buktinya, Rosnan kini terbabit membawakan watak Mamanda Bijaksana dalam teater Mak Yong Titis Sakti arahan Dr Norzizi Zulkifli yang berlangsung sejak 27 Januari lalu dan akan berakhir pada 4 Februari ini di Pentas 1, KLPac, Sentul Park.

“Ini pertama kali saya berlakon di bawah arahan Norzizi dan peluang ini amat ditunggu-tunggu sejak 18 tahun lalu.

“Pertama kali juga saya bergabung dengan aktor hebat lain iaitu Dr Rosdeen Suboh dan Zamzuriah Zahari. Sememangnya saya mengagumi bakat mereka,” katanya.

Rosnan, 46, berkata, walaupun watak pembantu, Mamanda Bijaksana membawa cabaran tersendiri buatnya kerana perlu menjadi pembesar raja berusia lebih 60 tahun.

“Sebelum ini, ia dipegang oleh Chekem ketika pementasan pertama pada 2009. Watak ini memerlukan saya bermain dengan emosi gelisah, marah, sedih dan dendam dengan jejaka iaitu Iskandar Muda yang melarikan anak gadis Mamanda Bijaksana iaitu Cempaka Sari.

“Ia sangat berbeza dengan watak pakyong yang selalu saya lakonkan sebelum ini dalam persembahan makyung. Terima kasih kepada Norzizi kerana sudi menjemput saya terbabit dalam produksi kali ini,” katanya.

Sebaik pementasan ini selesai, Rosnan akan sibuk dengan persiapan latihan untuk teater Makyong Raja Besar Maha Gading bersama Kumpulan Makyong USM yang dijangka dipentaskan pada 28 Februari hingga awal Mac di Dewan Budaya USM.

“Kali ini, saya kembali sebagai pakyong dan memegang watak Raja Besar Negeri Maha Gading.

“Sebenarnya, aktiviti saya sentiasa padat. Dua bulan lalu, saya dijemput mengadakan persembahan tarian dan nyanyian makyung di New Delhi, India sempena festival budaya dan makanan anjuran Kedutaan Tinggi Malaysia,” katanya.

Rosnan turut merancang untuk mengadakan satu program kelas bimbingan teater tradisional makyung kepada kanak kanak dan remaja pada tahun ini.

“Ia masih dalam perbincangan dan saya kini menyiapkan kertas kerja. Insya-Allah, program ini akan mendapat kerjasama dengan badan korporat.

“Sebenarnya, saya teringin hendak berlakon drama televisyen tapi ada beberapa halangan antaranya komitmen kerja menyebabkan saya tidak dapat untuk terbabit dalam produksi drama TV,” katanya yang bertugas di Istana Budaya.

Pada masa sama, dia mengakui wajahnya tidak cukup komersial untuk berada di kaca TV dan di layar perak.

“Saya sentiasa sedar diri yang tiada siapa nak tengok lakonan dalam drama dan filem. Sebenarnya, saya beri masa untuk beraksi di pentas sehingga usia 50 tahun. Selepas itu, saya mahu undur diri daripada dunia pentas teater,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 2:02 AM