ROSNAN terus mempamerkan kebolehan istimewanya sebagai pakyung.
ROSNAN terus mempamerkan kebolehan istimewanya sebagai pakyung.
Ridzuan Abdul Rahman

Galeri Petronas yang diwujudkan sejak 1992 menjadi tumpuan peminat seni dan budaya kerana sering tampil dengan program yang mengangkat seni tradisional tempatan.

Sempena program Art For All - Art Fair yang bermula pada 20 Mac hingga 8 April ini, peminat di sekitar ibu kota berpeluang menonton tiga slot program khas berkaitan makyung mulai esok dan Ahad ini.

Jurucakap Galeri Petronas Zahari Hamzah berkata, program makyung anjuran mereka akan bermula dengan dua pembentangan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Tan Sri Norliza Rofli dan Dekan Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr AS Hardy Shafii mengenai makyung.

“Program ini akan diteruskan dengan barisan panel yang akan membincangkan mengenai persembahan makyung terdiri daripada Dr AS Hardy, Aktivis & Pakyong Negara Rosnan Rahman, Pensyarah Jabatan Drama, Pusat Kebudayaan, Universiti Malaya Dr Rosdeen Suboh dan Pengarah Jabatan Warisan Negara Khalid Syed Ali.

“Mereka akan membincangkan forum bertajuk Makyung Sebuah Karya Warisan Lisan Tidak Ketara Sebagai Sebuah Anugerah yang menampilkan penggiat seni yang juga wakil Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kamarulzaman Taib atau Che Kem sebagai moderator,” katanya.

Acara ini akan diteruskan lagi dengan persembahan konsep ‘Lecture Performance’ Makyung bertajuk Makyung Dewa Indera Indera Dewa yang akan disampaikan Dr AS Hardy dan diikuti persembahan makyung oleh Rosnan.

“Program esok akan bermula jam 12 tengah hari dan berakhir jam 6 petang, manakala pada Ahad pula akan bermula jam 3 petang hingga 6 petang.

“Sasaran kami terhadap Art For All - Art Fair adalah untuk semua khalayak. Diharap program ini dapat menarik perhatian generasi muda untuk bersama-sama dalam usaha memajukan lagi aspirasi bagi menjadikan seni ini dapat diakses semua orang,” katanya.

Makyung Dewa Indera Indera Dewa menceritakan kisah dua putera, Dewa Indera dan Indera Dewa yang pergi berburu di kebun yang diwarisi daripada orang tuanya.

Ketika memburu, Indera Dewa haus, mendorong saudaranya untuk memerintahkan hamba mereka mencari air. Peran Tua diminta mencari air, tetapi air ditemui terasa busuk. Dewa Indera Indera Dewa segera mengarahkan Peran Tua untuk membawa mereka ke sumber air.

Maklumat lanjut sila layari Facebook Galeri Petronas atau laman web www.galeripetronas.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 1:24 AM