SYAMEL.
SYAMEL.
Syafil Syazwan Jefri

Cinta dan jodoh adalah urusan Allah SWT. Penyanyi popular, Syamel belum tahu siapa yang bakal menjadi suri hatinya.

Berkawan rapat sehingga dikaitkan dengan penyanyi Ernie Zakri tidak membuatkan Syamel melenting, tetapi dia tidak mahu hal itu terlalu diperbesarkan sehingga mengaburi karier seninya.

“Saya bekerja sebagai anak seni dan kalau boleh, tak mahu semua mata terlalu cenderung melihat perkara sebegitu,” katanya.

Menjelaskan lebih terperinci mengenai hubungannya dengan Ernie, Syamel seperti sebelum ini masih menegaskan mereka sekadar teman biasa.

“Jawapan saya masih sama iaitu kami hanya berteman biasa dan rapat kerana bekerjasama dalam lagu Aku Cinta. Namun, tak lebih daripada itu,” katanya.

Syamel juga tidak mahu dilihat menolak doa peminat yang mahu mereka menjadi pasangan.

“Siapa saya untuk menolak doa peminat? Tapi, kalau saya cakap saya terima, nampak seperti saya terlalu beria-ia pula kan?

“Kalau saya tolak, orang akan beranggapan terlalu memilih dan kenapa perlu menolak? Jadi, saya tak mahu komen lebih kerana takut ada yang salah faham,” katanya.

Syamel dan Ernie sebelum ini dikatakan bercinta selepas ada desas-desus mengenai panggilan manja ‘sayang’, sekali gus menguatkan gosip berkenaan.

“Saya suka bergurau dengan semua orang dan kalau boleh, semua orang saya panggil ‘sayang’. Tak sangka pula ada yang terdengar dan membuat andaian bahawa kami sedang bercinta,” katanya.

Mengenai berita keluarga merestui hubungan mereka, Syamel sendiri terkejut apabila ibu bertanya kepadanya mengenai perkara itu.

“Saya dan Ernie masing-masing ada keluarga. Ibu saya sendiri terkejut dan bertanya saya mengenai berita itu.

“Saya tak mahu keluarga kami rasa tak selesa dengan adanya berita sebegitu,” katanya.

Menurutnya, jika benar mereka menjalin hubungan lebih daripada kawan, mereka pasti akan berkongsi mengenainya.

“Kita bukan berada dalam industri hiburan Hollywood. Buat apa nak berahsia. Kalau betul kami bercinta, saya akan maklumkan dan mengaku,” katanya.

Terbaru, Syamel kini giat mempromosikan single terbarunya, Biar Cinta yang juga ciptaannya sendiri.

Berbanding lagu sebelum ini, Biar Cinta kedengaran lebih ‘besar’ dari segi susunan muziknya.

“Sebenarnya, kalau anda masih ingat, ini adalah lagu yang saya persembahkan di pentas akhir AF Megastar tahun lalu. Jadi, memang ia dihasilkan sebagai satu lagu konsert.

“Sebab itu ia kedengaran ‘grand’. Ini juga menjawab persoalan sekiranya ada yang bertanya kenapa saya kedengaran seperti terlalu mencuba dalam menghasilkan lagu ini,” katanya.

Video muzik lagu ini juga sudah disiapkan dan dilancarkan baru-baru ini, bersama video muzik karaoke.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 12:16 PM