VOKAL berbeza aliran namun sebati.
VOKAL berbeza aliran namun sebati.

Selesai dengan program realiti Duo Star, pasangan duo Syamel dan Ernie Zakri kini hadir dengan single duet sulung mereka berjudul Aku Cinta.

Apa yang boleh dikatakan mengenai single baru ini, ia menggabungkan dua vokal yang berlainan aliran, tetapi sebati dan sangat serasi.

Susunan muzik ala ‘fairytale’ sedikit sebanyak mengimbau ingatan kepada lagu popular dari tanah seberang iaitu Dealova nyanyian Once.

Namun, kekuatan untuk lagu Aku Cinta adalah alunan hebat penyanyinya dan paling utama, kedua-duanya saling melengkapi dan tidak ‘makan’ antara satu sama lain.

Liriknya juga bercerita mengenai kesedihan dalam salah satu fasa percintaan, namun disampaikan dalam bentuk bualan antara Syamel dan Ernie.

Secara ringkas, Aku Cinta bercerita mengenai kisah percintaan pasangan yang akhirnya berdepan kegagalan apabila salah seorang terpaksa berpaling atas beberapa sebab.

Namun begitu, pasangannya masih kekal yakin dengan cinta itu, sekali gus sentiasa mengharapkan agar ia masih mampu diperbaiki.

Syamel yang juga pencipta dan penulis lirik lagu ini berkata, ia bergantung kepada interpretasi pendengar sendiri.

“Ia subjektif dan bergantung kepada interpretasi seseorang untuk mendefinisikan jalan cerita lagu Aku Cinta,” katanya.

Syamel berkongsi mengenai penghasilan Aku Cinta yang berlangsung dengan sangat pantas.

“Ilhamnya muncul dalam tempoh satu hari dan dengan bantuan daripada Edry Abdul Halim, saya kemudian merealisasikan idea itu dalam bentuk lagu ini.

“Tempoh rakaman juga tidak mengambil masa yang lama memandangkan saya dan Ernie memang pernah bekerjasama. Semuanya berlaku dengan sangat pantas,” katanya.

Menurut Syamel, mereka juga kini sedang berbincang mengenai idea untuk penghasilan video muzik Aku Cinta.

INFO:

LAGU: Aku Cinta

PENYANYI: Syamel & Ernie Zakri

PENCIPTA: Syamel

LIRIK: Syamel

TERBITAN: DD Music

EDARAN: FMC Music

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 6:12 AM