Herman Tino dan Aiman Tino bersua muka di seksyen 13, Shah Alam.FOTO HM/ROSDAN WAHID
Herman Tino dan Aiman Tino bersua muka di seksyen 13, Shah Alam.FOTO HM/ROSDAN WAHID
Georgie Joseph


Shah Alam: Penyanyi veteran Herman Tino, 62, menafikan dakwaan Aiman Tino, 18 adalah anak luar nikahnya.

Herman mendedahkan isterinya turut mengutarakan soalan sama sehingga dia buntu bagaimana mahu memberikan penjelasan.

"Disebabkan dia sangat popular dan menggunakan nama Tino, ramai berteka-teki dan cuba mengaitkan kami. Daripada situ tercetus pelbagai spekulasi sehingga ada yang menyangka Aiman anak luar nikah saya.

"Lebih memeningkan, isteri saya bertanya apa kaitan saya dan Aiman. Susah juga hendak jelaskan padahal kami tiada apa-apa ikatan,” katanya sewaktu dipertemukan dengan Aiman buat pertama kalinya tengah hari ini.

Sementara itu, Aiman yang mencipta nama menerusi lagu Ku Rela Dibenci mengakui terkejut apabila dirinya dikatakan anak luar nikah idolanya sedangkan selama ini tiada masalah menggunakan nama Tino.

"Sebenarnya nama itu diberikan ibu ketika saya berusia 12 tahun gara-gara terlalu meminati Herman Tino. Sampai sekarang nama ini melekat dan kawan-kawan sudah lama tahu.

"Pun begitu peminat yang baru mengenali saya akan bertanya apa kaitan saya dan Herman Tino,” katanya.

Dua penyanyi itu bertemu di sebuah restoran di sini selepas masing-masing sudah lama memasang niat mahu bersua muka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 7:40 PM