SENTIASA amalkan gaya hidup sihat.  FOTO: Sumber Google
SENTIASA amalkan gaya hidup sihat. FOTO: Sumber Google
Muhamaad Razis Ismail

RAMAI mengimpikan bentuk badan menawan tanpa mengambil kira kesihatan yang perlu diutamakan.

Untuk merealisasikan hasrat itu, ada dalam kalangan kita secara membuta tuli mengambil jalan singkat dengan mengikut trend diet di Internet.

Tindakan yang diambil tanpa khidmat nasihat profesional kesihatan itu boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan.

Antara yang menjadi ikutan sekarang adalah diet ketogenik yang banyak dikongsikan di media sosial.

Diet ketogenik adalah diet yang menerapkan pola makan rendah karbohidrat dan tinggi lemak.

Contoh makanan yang sesuai diambil adalah berasaskan daging merah, ayam, ikan salmon, tuna, telur, mentega dan keju.

Makanan yang perlu dikurangkan adalah nasi, pasta, buah, kacang kuda, kacang merah, sayur berubi macam ubi kentang dan ubi keledek.

Di Malaysia, kaedah diet ini sukar diamalkan secara konsisten kerana mengehadkan pengambilan makanan ruji seperti nasi.

Pegawai Sains Pemakanan, Fara Wahida Rezali berkata, kaedah diet ini jauh berbeza seperti yang disarankan Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan Untuk Makanan dan Pemakanan (NCCFN) untuk rakyat Malaysia.

"Dengan mengamalkan diet ketogenik, majoriti jumlah pengambilan tenaga adalah daripada lemak iaitu 55 hingga 60 peratus, 30 hingga 35 peratus protein dah hanya lima hingga 10 peratus dari karbohidrat.

DIET ketogenik boleh akibatkan keletihan.  FOTO: Sumber Google
DIET ketogenik boleh akibatkan keletihan. FOTO: Sumber Google

"Tapi, mengikut saranan NCCFN untuk orang dewasa di Malaysia, pengambilan tenaga hanya 25 hingga 30 peratus daripada lemak, 10 hingga 20 peratus protein dan 50 hingga 65 peratus dari karbohidrat," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, sebenarnya dengan mengamalkan diet ketogenik, jumlah karbohidrat yang boleh diambil anggaran 20 hingga 50 gram sehari sahaja.

"Diet ketogenik menekankan pengambilan karbohidrat yang sangat rendah. Mengikut sejarah diet ini yang diperkenalkan pada 1921 digunakan untuk merawat kanak-kanak menghidap sawan di bawah pemantauan perubatan," katanya.

Tambahnya bagaimanapun, kini ia menjadi trend untuk menurunkan berat badan namun ada yang mengamalkannya tanpa pemantauan profesional kesihatan.

"Mereka mengamalkan diet ketogenik supaya berat badan dapat turun dengan lebih cepat tanpa perlukan usaha lebih berbanding diet konvensional yang tinggi karbohidrat, rendah lemak dan kalori defisit.

"Sesetengah individu berpendapat kaedah ini lebih mudah untuk mengawal pengambilan kalori," katanya.

Mengulas lanjut, individu yang ingin mengamalkan diet ketogenik, perlu mendapatkan nasihat profesional kesihatan untuk membuat penilaian secara menyeluruh.

"Profesional kesihatan boleh membantu untuk menilai cara pemakanan dan status kesihatan untuk menentukan sama ada sesuai atau tidak untuk amalkan diet ini.

"Sebenarnya ia ada pengiraan pembahagian kalori yang spesifik mengikut berat badan, status pemakanan dan tahap kesihatan. Dengan kata lain setiap individu adalah berbeza," katanya.

DIET ketogenik mengutamakan makanan tinggi kandungan lemak.  FOTO: Sumber Google
DIET ketogenik mengutamakan makanan tinggi kandungan lemak. FOTO: Sumber Google

Beliau berkata, berdasarkan kajian diet ketogenik hanya dapat menurunkan berat badan dalam tempoh jangka pendek.

"Dari segi kesan buruk, ia akan beri kesan risiko kesihatan seperti ketidakselesaan gastrousus, sembelit, rasa mual, sakit bahagian abdomen dan pembentukan batu karang," katanya.

Fara Wahida berkata, biarpun banyak kajian membuktikan diet ketogenik berjaya kurangkan berat badan, namun masyarakat perlu memilih diet yang dapat diamalkan untuk jangka panjang dan tidak mendatangkan kesan buruk pada kesihatan.

"Kita boleh amalkan diet sihat dan seimbang secara berterusan disamping mengamalkan gaya hidup sihat secara menyeluruh termasuk menjaga pemakanan dan tingkatkan aktiviti fizikal untuk pastikan berat badan kekal dalam julat normal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 6:30 AM