ROSLAN (kiri) anjur showcase untuk bantu Azman.
ROSLAN (kiri) anjur showcase untuk bantu Azman.
Rodly Fadly


Sekian lama menyepi, penyanyi Azman Idris yang suatu ketika dulu popular dengan lagu Zuraidah kini sedang melalui ujian berat apabila disahkan menghidap kanser tahap empat.

Menurut isterinya, Madinah Abu Bakar, sudah lebih sebulan Azman terlantar di hospital. Bermula di Hospital Kulim, Kedah kini dia dipindahkan ke Hospital Besar Pulau Pinang (HBPP).

Walaupun keadaannya stabil, penyanyi berusia 57 tahun itu kini mengalami kesukaran untuk berjalan sehingga perlu dipapah.

“Azman mula berdepan masalah kesihatan apabila mengalami bengkak kaki kiri kira-kira sebulan lalu. Pemeriksaan dilakukan di Hospital Kulim mengesahkan dia menghidap kanser tahap empat.

“Selama sebulan dia terlantar di Hospital Kulim sebelum dirujuk ke Hospital Besar Pulau Pinang pada minggu lalu. Kini doktor sedang memantau tahap kansernya dan dijangka perlu menjalani kemoterapi tidak lama lagi,” kata Madinah.

Madinah berkata, sebelum ini Azman tiada tanda tidak sihat serta aktif membuat persembahan sebagai penyanyi tetap sebuah restoran di Kulim sejak enam tahun lalu.

“Berita yang diterima ini agak mengejutkan kami dan sedikit sebanyak menyentap semangatnya. Tapi, kami reda dengan ujian Allah serta tidak pernah berputus harap meneruskan rawatan.

“Apabila keadaan jadi begini, sedikit sebanyak ia menjejaskan kehidupan kami. Namun, saya bersyukur majikan Azman masih terus membayar gaji walaupun dia sudah tidak membuat persembahan di sana.

“Cuma, kini kami memerlukan kos tambahan untuk urusan rawatannya. Malah, kami bercadang untuk membawa lima anak yang selama ini menetap bersama keluarga saya di Sarawak untuk tinggal di sini (Semenanjung), supaya lebih dekat dengan kami,” katanya.

Menurut Madinah, setakat ini mereka tidak menerima sebarang sumbangan daripada mana-mana pihak namun mengakui Persatuan Karyawan Malaysia dan Yayasan Artis 1Malaysia ada bertanya khabar.

Hasil perkahwinan dengan Madinah, Azman dikurniakan enam anak berusia empat hingga 19 tahun.

Penyanyi itu juga mempunyai seorang anak berusia 32 tahun hasil perkahwinan terdahulu.

Sepanjang pembabitan sebagai artis rakaman, Azman menghasilkan tiga album solo iaitu Zuraidah, Dilamun Rindu dan Kembali serta album Akan Ku Bahagiakan Hidupmu bersama Kumpulan Angka (Digital).

Namun, satu-satunya lagu menjulang nama Azman adalah Zuraidah yang pernah bersaing dengan lagu Rindu Bayangan (Carefree) mengungguli rancangan carta lagu popular di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Sementara itu, rakan Azman yang juga pemilik restoran yang menjadi tempat penyanyi itu mencari rezeki, Roslan Zainol Abidin memberitahu, pihaknya dengan kerjasama Karyawan dan Northwind Intelec akan menganjurkan persembahan pada 3 Disember 2017 bertujuan mengutip derma bagi membantu Azman.

“Beberapa kumpulan muzik dan artis akan membuat persembahan di Monrods bermula jam 2 petang hingga jam 12 malam. Kami tidak akan mengenakan sebarang bayaran masuk sebaliknya pengunjung digalakkan memberi sumbangan seikhlas hati untuk membantu Azman,” katanya.

Roslan juga berharap lebih banyak pihak tampil untuk menjayakan persembahan amal itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 11:24 AM