EZLYNN (kanan) menjawab soalan wartawan selepas bercerai bersama suami Adam Fahmy Shamsudin (kiri) di Kompleks Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. FOTO Rosdan Wahid.
EZLYNN (kanan) menjawab soalan wartawan selepas bercerai bersama suami Adam Fahmy Shamsudin (kiri) di Kompleks Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. FOTO Rosdan Wahid.
Ridzuan Abdul Rahman


Walaupun sudah bercerai, bekas suami penyanyi Ezlynn, Adam Fahmy Shamsuddin tetap akan meneruskan hasrat memfailkan nusyuz terhadap bekas isterinya itu dalam masa terdekat ini.

Adam ketika ditemui di luar Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur berkata, dia cuba untuk menyelamatkan rumah tangga mereka dengan mencari jalan perdamaian sepertimana arahan pihak mahkamah pada 7 April lalu, namun Ezlynn sebaliknya nekad memilih untuk bercerai.

"Ezlynn melakukan pelbagai perkara dengan niat untuk mendapatkan dan mempercepatkan proses penceraian, termasuk memburuk dan menghina saya yang masih suaminya ketika itu.

"Jadi, tindakan ini diambil bagi membuktikan kepada mahkamah bahawa segala tuduhan dilemparkan terhadap saya sebelum ini adalah fitnah," katanya.

Menurut Adam, emosinya semakin dicabar apabila Ezlynn menuduhnya memecah masuk dan 'merompak' rumah milik mereka berdua.

"Rumah ini milik bersama dan dia menukar kunci mangga tanpa pengetahuan saya dengan niat tidak membenarkan saya masuk ke rumah sendiri.

"Adakah seorang isteri dibenarkan menghalang suami sendiri pulang dan masuk ke rumah dengan menukar kunci pintu rumah?," katanya.

Adam berkata, segala fitnah yang dilemparkan Ezlynn terhadapnya di media sosial

dan media cetak sememangnya tidak benar dan dia mempunyai bukti yang kukuh terhadap tuduhan tidak berasas itu.

"Bukti ini merangkumi hal nafkah, pendapatan, rumah kelamin, harta peribadi dan harta sepencarian. Perceraian ini berlaku akibat daripada isteri saya yang sudah nusyuz dan derhaka terhadap saya.

"Dia sudah lama memutuskan perhubungan dengan saya sama ada secara langsung atau melalui telefon bimbit. Setiap kali saya pulang ke rumah, dia akan keluar dari rumah kami dan tidak pulang selagi saya berada di rumah itu," katanya.

Menurutnya, Ezlynn sudah hampir setahun tidak memaklumkan atau meminta keizinannya untuk melakukan apa-apa atau pergi ke mana-mana.

“Dia juga tidak mempedulikan lagi larangan saya untuk melakukan sesuatu perkara. Ezlynn juga ingkar untuk kembali taat walaupun saya sudah menyerahkan surat tuntutan untuk berbuat demikian pada 15 Ogos lalu.

"Saya akhirnya memutuskan untuk menjatuhkan talak dan bercerai kerana tidak tahan lagi difitnah Ezlynn dan dihina berkali-kali sehingga saya dan keluarga mendapat malu," katanya.

Sementara itu, Ezlynn berkata, hatinya tenang dan lega kerana urusan perceraiannya dipermudahkan Allah.

"Berkenaan memfailkan nusyuz itu, suka hati dialah. Adam boleh cakap apa sahaja dan nanti kita tengok sahaja.

"Saya minta cerai kerana dia terlebih dahulu mengabaikan saya dan tidak pernah memikirkan perasaan saya," katanya.

Menurutnya, dia sudah memberi peluang selama 11 tahun untuk Adam menunaikan tanggungjawabnya sebagai suami tetapi dia mengabaikannya.

"Saya bertahan selama 11 tahun dan rasanya cukuplah peluang yang diberikan kepadanya selama ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 7:05 PM