Ridzuan Abdul Rahman


“LAGU itu sebenarnya sengaja dirakamkan oleh saya, Datuk Nash dan Datuk Hattan sebagai percubaan untuk buat lagu ketuhanan.”

Itu penjelasan penyanyi popular era 80-an, Datuk Malek Ridzuan mengenai video nyanyiannya yang tular dalam kalangan peminat.

Video ini memaparkan Malek yang menggelarkan dirinya Pak Haji menyanyikan lagu ketuhanan. Nyanyiannya mendapat maklum balas positif peminat yang memuji kemerduan suaranya.

Malek, 61, berkata, idea untuk merakamkan lagu itu terhasil apabila mereka bertiga menunaikan ibadah haji dua tahun lalu.

“Jadinya, kami merancang buat lagu-lagu begini. Ia sekadar suka-suka dan bukan untuk dijual. Niat kami nak berikan secara percuma kepada orang ramai sebagai mesej untuk mengingati Tuhan.

“Lagu ini dirakamkan dua minggu lepas dengan judul Akhirat Di Depan. Ia ciptaan Bell manakala liriknya oleh Bob Lokman.

IDEA rakam lagu itu terhasil apabila Nash, Hattan dan Malek menunaikan ibadah haji dua tahun lalu.
IDEA rakam lagu itu terhasil apabila Nash, Hattan dan Malek menunaikan ibadah haji dua tahun lalu.

“Saya sengaja menyanyikannya secara solo untuk ditujukan kepada sahabat yang mengenali saya agar lagu tu menguatkan lagi keinsafan pada bulan puasa, mencari lebih pahala dan tidak meninggalkan puasa,” katanya.

Menurutnya, lagu itu belum disiarkan di mana-mana stesen radio dan mereka memilih konsep menularkannya sebagai satu cara publisiti.

“Lagu ini tidak diterbitkan dibawah mana-mana syarikat. Apabila tular, peminat hanya perlu muat turun menerusi internet untuk memilikinya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Malek yang popular dengan lagu Cukup Sampai Di Sini dan lagu hari raya berjudul Abang Pulang, mengakui dirinya masih aktif menyanyi dan baru sahaja selesai mengadakan persembahan di Singapura.

“Saya sering diundang buat persembahan di pelbagai lokasi. Semalam saya buat persembahan di Bazar Ramadan Wisma Geylang, Singapura.

“Selain menyanyi, saya juga mempunyai hobi menulis dan menjaring serta memancing ikan. Saya mempunyai bot sendiri untuk melakukan aktiviti ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 9:07 PM
MALEK pernah popular dengan lagu Cukup Sampai Di Sini dan lagu hari raya berjudul Abang Pulang.
MALEK pernah popular dengan lagu Cukup Sampai Di Sini dan lagu hari raya berjudul Abang Pulang.