MAMAT bersama Aziz sebagai panel jemputan.
MAMAT bersama Aziz sebagai panel jemputan.
SESI bual bicara mendapat sambutan.
SESI bual bicara mendapat sambutan.
ANTARA penonton yang hadir.
ANTARA penonton yang hadir.
Syanty Octavia Amry


Mempertaruhkan genre filem berbeza berbanding sebelum ini, pengarah Mamat Khalid mengakui tidak semua orang faham maksud yang disampaikan dalam filem terbarunya, Lebuhraya Ke Neraka.

Sehubungan itu, bagi memberi kefahaman yang lebih jelas, Mamat mengadakan tayangan tertutup serta bual bicara mengenai filem berkenaan di MMCineplexes, Damansara yang dihadiri orang ramai dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), baru-baru ini.

Selesai tayangan, semua yang menonton filem itu diberi ruang dan peluang untuk bertanyakan pelbagai soalan yang mereka kurang jelas mengenai filem itu.

Terbuka dengan setiap soalan yang diajukan, Mamat gembira dengan sesi yang dijalankan.

Mamat berkata, dengan cara itu dia dapat melihat pelbagai pendapat berbeza, namun matlamatnya tetap sama iaitu menghiburkan penonton di samping berkongsi mesej disampaikan.

Pertama kali mengarahkan filem serius yang berkonsepkan kerohanian, Mamat mengakui filem seperti itu adalah jiwanya.

“Jika diikutkan, filem serius adalah idaman saya. Orang sering melihat saya mengarahkan cerita komedi dan disebabkan permintaan saya turutkan saja.

“Filem ini adalah cubaan pertama dan saya berharap dapat menghasilkan filem serius seperti ini lagi,” katanya.

Berkongsi mengenai program itu, Mamat berkata, apa yang cuba dilakukan ialah bagi memberi kefahaman dan peluang kepada penonton berkongsi pandangan.

“Saya tahu tidak semua orang faham dengan filem seperti ini. Jadi, dengan adanya program seperti ini, saya mahu dengar pendapat setiap mereka yang menonton.

“Sekurang-kurangnya saya tahu yang mereka faham jalan cerita filem ini mengenai apa. Namun begitu, setiap orang punya pandangan berbeza-beza dan saya sentiasa terbuka.

“Saya terima apa juga yang mereka fikir sama ada ini filem ketuhanan, kerohanian, alam barzakh atau apa saja asalkan mereka simpan dalam hati mesej sebenar yang ada dalam filem ini,” katanya.

Selain Mamat, turut dijemput menjadi panel bual bicara itu ialah pengarah dan penerbit, Aziz M Osman.

Program bual bicara bantu penonton lebih memahami

Penuntut Alya Maisarah berkata, program seperti itu bagus kerana ia memberi pendedahan lebih kepada orang ramai.

“Apabila menonton filem ini, pada awalnya saya sendiri keliru tetapi selepas menontonnya sehingga habis baru tahu kisahnya mengenai apa.

“Program seperti ini bagus kerana boleh memberi kefahaman supaya setiap yang menonton tahu kenapa dan mengapa babak itu ada.

“Sekurang-kurangnya pengarah dapat memberi penjelasan dan penonton lebih mudah faham serta berkongsi cerita mereka pula kepada orang luar,” katanya.

Bagi Muhd Asyraf Ismail pula, filem seperti itu sesuai dibincangkan kerana ia dapat merungkai persoalan yang umum kurang faham.

“Filem ini mengingatkan kita mengenai alam barzakh di samping mengajar kita supaya jangan selalu berbuat jahat kerana ada balasannya di akhirat nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2017 @ 2:32 AM