RAZIF dan Nana serasi kendali Feel Good Show.
RAZIF dan Nana serasi kendali Feel Good Show.
Ramlah Zainal

Program bual bicara pagi Feel Good Show menampilkan konsep lebih segar sempena penjenamaan semula saluran ntv7 tahun ini.

Bukan sekadar bual bicara biasa, program dalam bahasa Melayu ini mengupas pelbagai topik menarik seperti apa yang tular dalam media sosial, gaya hidup, kesedaran sivik, hiburan, pengurusan kewangan, kesihatan, kecantikan, fesyen dan banyak lagi.

Ia bersiaran jam 8 hingga 10 pagi menerusi saluran ntv7, bermula 5 Mac lalu.

Lebih menarik, Feel Good Show juga menampilkan barisan hos baru daripada pelbagai latar belakang seperti Razif Hashim, Erwin Dawson, Megan Tan, Keanu Azman, Aaron Al-Fateh, Nana Al Haleq, Thevanesh, Miasara serta Sugeeta.

Pada sesi fotografi Selebriti bersama hos Feel Good Show 2018 yang berlangsung di Studio Balai Berita baru-baru ini, pelakon dan pengacara tidak asing lagi, Razif Hashim digandingkan dengan hos baru Nana Al Haleq khusus untuk pembaca setia akhbar ini.

Bagi pelakon dan pengacara kacak berdarah kacukan Jawa, Arab, Cina dan Serani, Razif, 34, dia tidak melepaskan peluang keemasan bila diberi kepercayaan mengendalikan program bual bicara pagi itu.

Pemilik nama sebenar Mohamad Razif Hashim ini berkata, dia masih dalam proses pembelajaran walaupun ada pengalaman dalam bidang pengacaraan.

“Selepas beberapa tahun menjadi hos solo dalam pelbagai program, kebelakangan ini saya rindu untuk kembali seperti zaman 8TV Quickie dulu ketika mana kami akan mengendalikan program secara berpasangan dan punya semangat berpasukan yang kuat.

“Kalau zaman 8TV Quickie dulu, kami ada lima pengacara dan saya paling muda, sekarang ada sembilan.

“Saya juga banyak belajar daripada pengacara senior seperti Rina Omar, Phat Fabes, Aishah Sinclair dan Belinda Chee,” katanya.

Mengenai program Feel Good Show 2018 pula, Razif seronok dapat bekerjasama dengan lapan lagi pengacara baru.

“Kini, saya pula bergelar pengacara senior berbanding yang lain dalam program bual bicara ini. Saya juga dapat menimba ilmu baru dengan pengacara generasi baru yang berbakat dan bijak mengendalikan barisan tetamu undangan.

“Selain itu, pasukan produksi juga menitikberatkan pengisian kandungan untuk memastikan program ini berkualiti,” katanya.

Berkongsi mengenai cabaran pula, Razif mengakui dia perlu menguasai bahasa Melayu dengan baik apatah lagi ia bersiaran secara langsung.

“Ia memang mencabar kerana tidak mudah menterjemahkan pemikiran saya dengan pantas ke bahasa Melayu. Namun, saya tekad untuk menguasai bahasa ini dengan baik.

“Dari segi persediaan pula, saya juga banyak membaca berita terkini dan topik yang tular dalam saluran berita hangat dan media sosial,” katanya.

Mengenai gandingan dengan Nana pula, Razif berkata, tiada masalah mahu mendapatkan keserasian.

“Saya selesa bekerja dengan Nana kerana dia ikhlas dan kami sependapat dalam banyak perkara. Saya pula memang selesa mengacarakan program dengan gaya tersendiri sejak dulu.

“Harapan kami, semoga semua penonton Feel Good Show terhibur dan memberi sokongan padu kepada program ini,” katanya.

Terdahulu, Razif pernah mengendalikan program 8TV Quickie, Time Capsule Malaysia, Food Truck (HyppInspirasi) dan rancangan masakan dan makanan 8TV, Best in the World.

Dia juga dikenali dalam bidang lakonan dan antara karya pernah dijayakannya adalah Gol & Gincu The Series, Siri Jeff’s Place, Ghost, Aku, Dia dan Tong Sampah serta filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba, Tanda Putera.

Nana keluar gimnasium cari kelainan

Bermula dengan kerjaya sebagai jurulatih dan penasihat kecergasan, Nana Al Haleq kini mengembangkan sayap ke dunia pengacaraan.

Terbaru, Nana, 31, diberi kepercayaan menjadi sebahagian daripada keluarga Feel Good Show.

Anak jati Kuala Lumpur ini menerima tawaran sebagai pengacara kerana mahu mencuba sesuatu yang berbeza.

“Sebelum ini, ramai lebih mengenali saya sebagai personaliti dalam bidang kecergasan dan gaya hidup sihat. Justeru, saya sangat bersyukur kerana diberi peluang tampil sebagai hos Feel Good Show.

“Kini, sampai masanya saya mencabar diri dan mencuba bidang baru sekali gus merealisasikan cita-cita sejak kecil,” katanya.

Masih hijau, Nana berdepan cabaran mengendalikan program yang bersiaran secara langsung itu.

“Terus terang, saya gementar setiap kali ke udara. Namun, saya berusaha untuk memperbaiki kelemahan itu kerana mahu bertahan lama dalam bidang ini.

“Program Feel Good Show memiliki segmen dan pengisian menarik sesuai untuk mendekati penonton ‘urban’ yang juga peminat setia saluran ntv7,” katanya.

Seperti Razif, Nana juga berdepan kesukaran mengendalikan program itu dalam bahasa Melayu.

“Cabaran terbesar adalah mengurangkan penggunaan bahasa Inggeris dalam program ini.

“Saya sangat berterima kasih kepada semua kru dan penerbit yang banyak membantu saya menguasai bahasa Melayu,” katanya.

Ditanya gandingan dengan Razif pula, Nana mengakui jejaka itu banyak membantunya.

“Saya seronok dapat bekerja dengan Razif kerana kami memiliki perwatakan yang sama iaitu ceria dan suka memeriahkan suasana. Saya boleh menjadi diri sendiri bila kami bergandingan dalam program ini.

“Selain itu, saya banyak menonton program luar negara sebagai inspirasi seperti The Kelly & Ryan Show, The Ellen Show dan The Late Night Show.

“Apapun, sebagai orang baru, saya sangat berharap program ini mendapat sambutan hangat dan penonton terus memberi sokongan kepada kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Julai 2018 @ 6:12 AM