GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Program DesaMall@KPLB mencatatkan peningkatan hasil jualan sebanyak 39 peratus berbanding tempoh sama pada tahun tahun lalu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Seri Dr Abd Latiff Ahmad, peningkatan hasil jualan tertinggi dicatatkan pada bulan Mei 2020 iaitu hampir 10 kali ganda berbanding bulan sebelumnya.

Katanya, peningkatan peratusan hasil jualan ini adalah kesan daripada pembudayaan norma baharu oleh pengguna atau pembeli akibat penularan pandemik Covid-19.

Menurutnya, dalam usaha untuk menggalakkan lebih ramai pengguna atau pembeli membudayakan norma baharu menerusi pembelian secara dalam talian, kementeriannya memulakan kerjasama dengan Grab Malaysia menerusi platform GrabMart bagi memenuhi permintaan 'on demand' terhadap pembelian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"KPLB juga akan menganjurkan Karnival Usahawan Desa secara dalam talian (online) atau e-KUD@KPLB bertujuan mewujudkan kesedaran pembeli berkenaan produk usahawan boleh dibeli secara dalam talian.

"Program ini menyasarkan pembabitan seramai 2,000 usahawan pada Disember 2020," katanya pada sesi jawab lisan di parlimen, hari ini.

Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) bertanya mengenai adakah platform e-Dagang digunakan sepenuhnya usahawan luar bandar dalam memasarkan produk mereka dan berapa jumlah yang mendaftar hingga September 2020 serta apakah usaha yang dibuat untuk mempertingkatkan jumlah pengguna e-Dagang.

Abd Latiff berkata, pihaknya membantu usahawan untuk meningkatkan pemasaran produk secara dalam talian.

"KPLB sudah melaksana inisiatif perkongsian strategik dengan pelbagai pihak melalui Program DesaMall@KPLB.

"Program ini membantu usahawan luar bandar memasarkan produk mereka secara dalam talian melalui platform e-Dagang seperti Lazada, Shopee, eBay dan CJ WowShop," katanya.

Beliau berkata, sehingga 30 September 2020, seramai 1,748 usahawan luar bandar dilatih di bawah Program DesaMall@KPLB dan sebanyak 21,698 Stock Keeping Unit (SKU) dimuatnaik ke dalam platform e-Dagang yang disertai oleh DesaMall@KPLB," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 2:26 PM