TASHA Empire menjadi  stokis kepada beberapa produk  tempatan  terkenal.
TASHA Empire menjadi stokis kepada beberapa produk tempatan terkenal.
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Memegang status ibu tunggal dengan tiga anak tidak menghalang kecekalan wanita ini untuk terus membina perniagaan sebagai stokis kepada beberapa produk terkenal tempatan.

Pengasas Tasha Empire, Amylia Nastasha Aziz mula menjalankan perniagaan pada 2018 dan kini mempunyai sebuah lot kedai setingkat di Permatang Pauh, Pulau Pinang.

"Kami ada lebih 20 barisan produk antaranya FGWalet Bird Nest daripada Fauziah Ghous, Sambal Garing Chiangrai, NiLofa, Aducktive dan Engs Popcorn.

"Kedai ini dibuka pada April tahun lalu kerana saya menyedari ruang di rumah tidak mampu untuk menyimpan stok.

"Insya-Allah jika Tasha Empire semakin dikenali, kami mahu membuka sebuah lot kedai dua tingkat untuk ruang pejabat pula," katanya.

Menurutnya, pihaknya lebih memfokuskan penjualan produk selebriti tanah air yang mudah dijual serta mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

Katanya, satu daripada produk dijual di kedainya boleh mencapai jualan sehingga lebih RM1 juta pada tahun lalu.

"Selain kedai fizikal, saya menggunakan platform perniagaan dalam talian untuk memudahkan pelanggan mendapatkan produk diinginkan," katanya.

Amylia Nastasha berkata, menerusi penjualan di kedai fizikal dan dalam talian, syarikatnya menjana keuntungan sehingga RM250,000 sebulan.

Dia yang sebelum ini bertugas sebagai pramugari di syarikat penerbangan, mula membuka lot kedai di Permatang Pauh dengan modal RM70,000 tidak termasuk kos produk.

"Kedai Tasha Empire ini dibuka sepenuhnya tanpa hutang dan menggunakan simpanan perniagaan dan ketika bekerja sebelum ini.

"Dalam menerajui Tasha Empire ini, saya lebih menggalakkan orang ramai datang ke kedai bagi mendapatkan harga terbaik daripada kami," katanya.

Usahawan PKS dijemput menyertai komuniti sokongan perniagaan dan mendaftar sebagai AhliUSB di www.omniausb.com.my atau hubungi 013-7172858.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 7:02 AM